29 Julai 2021, 09:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Saya nak menulis dengan prinsip pegangan saya. Setiap penulisan saya dinukilkan dengan niat untuk mendapat keredaan Allah SWT, selain melunakkan semangat kebaikan kepada individu yang membaca. Malah saya lihat kerja menulis ini, sebagai jalan untuk saya pulang ke pangkuan Tuhan.

Itu adalah kenyataan simpulan yang Hilal talakan pada pendengar di akhir sesi perkongsian yang diadakan bersama-sama The Bibliophile, syarikat penjualan buku di Lembah Klang. Sesi perkongsian itu diadakan pada melalui Twitter Space, @bibliopress, yang dikendalikan Kiridaren Jayakumar.

Hero, antara karya fiksyen yang berjaya diterbitkan. (Sumber: Twitter Hilal Asyraf)

Hilal diberi galakan untuk menjadi penulis seawal beliau mula meniti umur 20-an lagi. Manuskrip terawal beliau disemak oleh Hajah Maskiah Masrom, dan galakan disanggul lagi untuk Hilal meneruskan kegiatan menulis, mengasah potensi bakat yang sudah memancar dalam diri anak muda itu. Beliau sudah menulis lebih daripada 50 buku. 30 daripadanya, terdiri daripada buku ilmiah, agama, motivasi dan fiksyen yang diterbitkan oleh Galeri Ilmu, Telaga Biru, Karangkraf dan PTS.

Manakala sejurus pelancaran rumah penerbitannya sendiri, Hilal Asyraf Resources pada September 2016, Hilal meneruskan penulisan dengan lebih fokus dan terancang. “Saya memaksa diri untuk lebih serius, lebih fokus, lebih tersusun dan memberi tumpuan penuh terhadap penulisan fiksyen. Sebelum saya menubuhkan Hilal Asyraf Resources, saya menulis dengan judul yang variasi, kerana saya tak perlu risaukan risiko penjualan buku, jumlah cetakan dan pelbagai lagi risiko sebagai penerbit dan penjual buku,” jelas Hilal.

Idea untuk terbit sendiri adalah disebabkan krisis royalti yang melanda dalam kalangan penulis tempatan. Antara usaha beliau ialah untuk menjadikan penulisan fiksyen sebagai identiti, berjalan sama dengan usaha seriusnya menubuhkan syarikat penerbitan sendiri. “Bermula dari saat itu, penulisan ini perlu jadi identiti saya,” Ujar Hilal Asyraf yang kini dalam proses untuk melancarkan novel ke-52 beliau pada tahun ini.

Hilal sudah menerbitkan sendiri 20 novel fiksyen dengan syarikat penerbitannya. Novel terbaharu yang akan diterbitkan pada tahun ini ialah novel Nirnama, karya epik fiksyen berlatar dunia Nusantara. Novel ini dianggarkan berjumlah 700 muka surat yang akan diterbitkan secara dua versi, iaitu tulisan Jawi dan tulisan Rumi.

“Saya sangat menghargai pembaca novel saya, sebab itu saya sanggup melabur dengan novel ini untuk mendapat keuntungan yang kurang sedikit,” Hilal menegaskan setelah menempuh pelbagai cabaran dalam kerjayanya, peranan penyokong dan pembaca bukunya adalah antara faktor kejayaannya pada hari ini.

Penjualan Nirnama kini sedang berlangsung secara pratempah. Pembeli akan dihadiahkan pelbagai cenderamata seperti poskad, buku seni, penanda buku dan kalendar tahun 2021 yang berlatar illustrasi novel Nirnama. Hingga 27 Julai 2021, jumlah pembelian pratempahnya sudah menjangkau angka 5513 pembeli.

Antara cenderamata yang menanti pembaca bertuah. (Sumber: Twitter Hilal Asyraf)

Kejayaan permainan video Ghost Of Tsushima dan Assasins Creed dalam mempersembahkan budaya, sejarah dan tamadun kepada dunia telah menginspirasikan Hilal untuk mencipta konsep yang sama dalam Nirnama. Beliau kemudian tertarik untuk menterjemahkan konsep itu kepada penulisan novel epik berkonsep latar nusantara.

Nirnama diinspirasikan daripada permainan video yang berkisarkan tentang budaya dan sejarah. (Sumber: Twitter Hilal Asyraf)

“Untuk pemantapan naratif dan jalan cerita, saya lantik 11 orang penggiat pembukuan dan penulis pilihan sebagai pembaca pilihan dan pengulas, untuk saya tambah baik novel Nirnama,” tambah Hilal.

Novel Nirnama akan mula dilancarkan pada bulan Oktober secara pratempah. Pra-tempah novelnya boleh dilakukan di sini (Novel (hilalasyraf.com)). Hilal Asyraf ialah novelis yang menghasilkan judul fiksyen terkenal seperti siri Hero, Hikayat Satria-Satria Sejati dan Trilogi Takdir.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.