28 Julai 2021, 18:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Nisah Haron dan Gina Yap Lai Yoong bertemu secara dalam talian, menunaikan janji temu mereka dalam wacana Pencinta Buku Siri 3 anjuran Perpustakaan Negara Malaysia.

Kedua-dua figura ini merupakan penulis dan penggiat buku yang prolifik dalam medan ranah perbukuan tanah air dan sebagai tukang cerita terkenal tempatan, mereka menghidangkan perkongsian yang menarik perihal rasa dan pengalaman mereka terhadap buku.

Dari dahulu lagi, Nisah sudah menciptakan buku Nilam sendiri.

“Saya kenal huruf, kenal angka dan kenal membaca semasa saya duduk dengan nenek saya.” Nisah Haron memulakan bicara. Katanya, semasa di rumah nenek, beliau akan duduk seorang tanpa teman dan adik.

Nisah yang kecil ialah anak yang teruja untuk teroka, dan perkara yang menarik minatnya waktu itu ialah buku-buku lama neneknya. Beliau mengatakan, apa yang dialaminya ketika itu merupakan keterujaan teruja yang teramat dan rasa “rakus” untuk membaca. “Saya tak tahu lagi apa nama genre, apa nama bentuk penulisannya, saya hanya baca dan saya suka dunia ketika membaca.”

Nisah juga sempat berkongsi pengalaman awalnya dahulu bersama-sama buku, beliau menciptakan sendiri sebuah buku nilam peribadi, untuk Nisah isi dan catat buku-buku yang telah dibaca, walaupun ketika itu pihak sekolah belum bersedia dengan program buku nilam untuk para pelajar.

“Membaca memberikan keseronokan kepada saya,” ujar Gina.

Bagi Gina pula, beliau membuka pengalaman di bangku sekolah. “Saya dulu seorang yang pendiam, jadi pada permulaannya saya hanya bawa buku untuk bersembunyi di belakang buku, mengelak daripada orang ramai,”

Katanya, kalau dia diam seorang-seorang pada waktu sekolah, orang akan cop mereka “bisu”. “Kalau saya pegang buku, dapatlah saya duduk seorang di sekolah tanpa dipanggil ‘bisu’”.

Lama kelamaan, Gina mula tertarik dengan bait-bait perkataan yang terkandung dalam buku-buku yang digunakan oleh beliau untuk bersembunyi itu. “Di situlah saya mula kenal keseronokan dunia membaca,” tambah Gina.

Perihal fenomena pembacaan yang merudum di Malaysia, Nisah Haron memberikan pandangan yang sama dengan ahli panel pada wacana Pencinta Buku siri 1 (Ain Maisarah dan Ahmad Abdul).

“Adakah masyarakat Malaysia kita membaca di khalayak umum? Itulah soalan yang saya rasa patut ditampilkan.” Beliau menyanggah stigma yang mengatakan bahawa anak muda kurang membaca, dan mementingkan peranan masyarakat untuk menggalakkan mereka membaca.

Gina pula menyatakan, cabaran zaman teknologi dengan frasa “anak-anak dilahirkan dengan teknologi”. “Kita kena gunakan peluang ini kerana masa akan sentiasa berubah, begitu juga dengan manusia. Saya percaya teknologi akan membantu dunia perbukuan dan kegiatan pembacaan, tapi saya tak nafikan wujudnya blindspot besar dalam dunia media sosial,” tambah Gina.

Pembicara wacana sempat mengongsi buku pilihan untuk ditampilkan, iaitu Lipur Lara Nusantara karya Ninot Aziz menjadi pilihan Nisah, dan Sikit-Sikit Lama-Lama Jadi Bukit susunan Annaliza Bakri menjadi pilihan Gina pula.

“Buku Ninot ini menceritakan semula kisah-kisah hikayat Melayu, dengan bahasa dan penyampaian yang seronok, tepat dan lengkap sama ada untuk pemula kepada dunia hikayat Melayu, ataupun penggemar genre itu. Saya anggap buku ini sebagai kunci untuk masuk ke dunia tersebut (hikayat Melayu).” Nisah menjelaskannya.

Gina juga memberikan perincian perihal buku pilihannya. “Saya simpan buku ini di tepi katil, dan saya akan baca satu puisi setiap pagi.” Buku itu mengumpulkan puisi-puisi dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu.

“Annaliza mengumpulkan puisi dengan cantik dan susunannya kemas. Saya juga memuji kerja terjemahan yang dilakukannya, dan memberikan peluang kepada pembaca untuk melihat perkataan-perkataan dalam puisi itu dalam dua bahasa.” Bahkan, Gina sempat membacakan satu puisi karya Abdul Ghani Abdul Hamid bertajuk “Pulau Ubin”.

Wacana Pencinta Buku Siri 3 ini berlangsung melalui Program Negara Membaca, anjuran Perpustakaan Negara Malaysia dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, yang bersiaran dalam laman Facebook KKMM dan YouTube Perpustakaan Negara Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.