27 Julai 2021, 10:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

TANJONG MALIM: Kepelbagaian Program Webinar yang telah dijalankan mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Perkongsian idea daripada bakal pendidik yang mengikuti Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Kesusasteraan Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris telah membuka minda banyak orang tentang inovasi dalam pembelajaran.

Inovasi yang diperkenalkan melalui teknik Bahan Bantu Mengajar (BBM) ini tercetus hasil daripada pengalaman bakal pendidik sendiri ketika menjalani latihan mengajar di sekolah.

Dr. Nordiana Hamzah, Pensyarah Kanan di Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI mengatakan, program sebegini amatlah dituntut kerana boleh dijadikan sebagai rujukan kepada warga pendidik di luar sana.

Menurutnya lagi, “Penghasilan teknik BBM dan kaedah yang dicipta ini diharap dapat membantu pelajar yang lemah dalam mata pelajaran Sastera.”

Salah satu inovasi yang dihasilkan ialah teknik Inderaloka. Teknik ini merupakan adaptasi daripada cerpen kepada sajak. Sajak yang terhasil adalah daripada salah satu cerpen yang terdapat dalam buku teks Kesusasteraan Melayu Komunikatif.

Kemudian, pelajar akan menyanyikan sajak tersebut dengan irama yang bersesuaian. Melalui kaedah nyanyian ini secara tidak langsung akan membantu menguatkan daya ingatan pelajar dengan jalan cerita cerpen tersebut.

Sememangnya, inovasi yang dihasilkan ini dapat meningkatkan penguasaan pelajar dalam mata pelajaran Kesusasteraan Melayu Komunikatif. Bahkan, persepsi pelajar terhadap mata pelajaran Sastera yang membosankan dapat ditepis melalui penghasilan inovasi ini.

Program sebegini amatlah bermanfaat kepada setiap lapisan masyarakat, terutamanya golongan pendidik. Diharapkan agar program sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.