26 Julai 2021, 12:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Mendengar bicara penulis dan editor tentang bagaimana menulis cerpen untuk diterbitkan dalam akhbar dan majalah merupakan peluang dan ilmu yang seharusnya dimanfaatkan oleh sesiapa sahaja yang berminat menjadi penulis cerpen dan mahu cerpennya tersiar dalam media cetak.

Penulis perlu menghasilkan cerpen yang baik dan diterima oleh rumah penerbitan.

Sememangnya, peluang dan ilmu itu juga sangat berguna untuk membantu penulis yang baru hendak menulis cerpen tetapi belum memulakan langkah pertama dalam penghasilan cerpen. Maka itu, penulisan ini memaparkan apa kata penulis dan editor tentang hal menulis cerpen, dan memastikan cerpen terbit dalam media cetak seperti akhbar dan majalah.

Apa yang dipaparkan dalam tulisan ini adalah berdasarkan perkongsian “Tip Cerpen Pasti Terbit” yang bersiaran secara langsung melalui Facebook Secangkir Kopi Jam 10 pada 10 Julai 2021.

Sudut Pandang Penulis: Nisah Haron

Kata orang, menulis itu mudah, jika apa yang ditulis itu sekadar omong kosong atau bebelan semata-mata. Akan tetapi, menulis itu suatu pekerjaan yang sukar jika mahu menulis sesuatu yang menarik dan meninggalkan kesan mendalam kepada pembaca.

Oleh sebab itulah, penulis yang sudah banyak menghasilkan cerpen, Nisah Haron berkata, “Untuk menjadi penulis cerpen, tulislah cerpen yang baik dan hasilkan cerita yang boleh diterima dan diterbitkan oleh rumah penerbitan.”

Kebiasaannya, penulis baharu akan bermula dengan cerpen. Namun begitu, tahukah mereka apa ciri-ciri cerpen yang baik, khususnya cerpen untuk disiarkan dalam akhbar dan majalah? Apakah langkah pertama atau di garisan mana penulis harus berdiri untuk memulakan langkah pertama dalam penulisan cerpen?

Nisah Haron.

Sebelum memberikan jawapan kepada dua persoalan tersebut, Nisah Haron terlebih dahulu menjelaskan apa yang dimaksudkan dengan cerpen, terutama cerpen yang hendak dihantar untuk siaran media cetak (akhbar dan majalah).

Cerpen merupakan karya sastera berbentuk prosa yang hanya memiliki satu tahap alur cerita. Sesuai dengan namanya yang menggabungkan “cerita” dan “pendek”, cerpen berisi kisah tentang kehidupan yang diceritakan secara pendek dan singkat. Jadi, isi daripada cerpen biasanya padat dan langsung kepada inti cerita.

Satu cerpen yang terhasil kemudian dihantar ke media cetak untuk disiarkan, disebut cerpen eceran. Jika terhimpunnya banyak cerpen kemudian diterbitkan dalam bentuk buku, disebut kumpulan cerpen (dalam satu buku menghimpunkan cerpen sendiri), atau antologi cerpen (dalam satu buku menghimpunkan cerpen sendiri dan orang lain).

Seterusnya, Nisah berkongsi panduan paling mudah untuk diikuti oleh penulis yang mahu menulis cerpen.

  1. Membaca cerpen orang lain yang tersiar dalam akhbar atau majalah.
  2. Kenali media atau penerbit yang disasarkan untuk penghantaran karya dan ketahui apa kriteria majalah atau ruangan dalam akhbar yang menyiarkan cerpen.
  3. Baca konsep sesuatu majalah itu. Misalnya, jika majalah bertemakan Islam, maka kita harus menulis cerpen yang bernuansa Islam, manakala jika majalah bertemakan keluarga atau wanita, maka tulislah cerpen yang kisahnya seputar hal keluarga dan wanita.

Konsep yang berlainan diketengahkan dalam setiap majalah DBP. 

Jika sudah mengetahui konsep majalah, akan memudahkan penulis memikirkan apa tema dan kisah yang mahu diolah untuk menghasilkan cerpen. Secara tidak langsung, cerpen yang dihantar ke majalah berkenaan mempunyai peluang yang cerah untuk diterbitkan kerana kisahnya bersesuaian dengan konsep majalah.

Bercakap tentang cerita dalam cerpen, Nisah mengingatkan penulis supaya tidak menulis cerita yang klise. Contoh cerita yang klise ialah jika menulis tentang pandemik COVID-19, ceritanya mesti tentang virus, kuarantin dan vaksin. Semua itu dianggap klise jika menulis cerpen tentang COVID-19.

Dengan mengambil contoh majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), jika menyasarkan cerpen disiarkan dalam majalah Dewan Siswa, maka tulislah cerpen bertemakan COVID-19 yang mengisahkan pelajar kemurungan atau tertekan kerana menghadap PdPR secara maya, dari pagi sampai petang, dengan gangguan talian Internet dan adik-adik yang masih kecil mengganggu kelas secara dalam talian.

Boleh juga menulis kisah pelajar yang terganggu emosinya kerana tidak dapat keluar dari rumah dan sudah lama tidak berjumpa dengan kawan-kawan. Bukannya menulis kisah yang klise seperti kisah remaja yang positif COVID-19 dan mengalami gejala batuk, sesak nafas dan suhu badan yang tinggi. Kisah seperti itu dianggap klise kerana orang sudah mengetahui perkara itulah yang akan berlaku jika seseorang disahkan positif COVID-19.

Karya yang bertemakan COVID-19 antara yang menjadi pilihan penulis muda yang menghantar karya untuk penerbitan majalah Tunas Cipta.

Jika cerpen itu untuk siaran majalah Dewan Tamadun Islam, maka tulislah cerita bertemakan COVID-19 tetapi tentang jenazah yang meninggal akibat COVID-19 yang tidak dapat ditatap buat kali terakhir oleh ahli keluarga dan tidak dapat dikebumikan seperti biasa melainkan mengikut prosedur pengebumian jenazah yang meninggal dunia akibat jangkitan COVID-19.

Seperti matematik, penulisan cerpen juga ada formulanya sendiri. Penulis harus berpegang pada formula dalam penulisan cerpen, iaitu dalam cerpen itu mesti ada manusia (watak), peristiwa (plot) dan pemikiran (idea dan ilham).

Formula itu dirangka dan dikawal perjalanannya dari awal hingga akhir oleh penulis sendiri. Oleh sebab itu, jika bijak dan kreatif mengolah formula itu, maka cerpen yang terhasil itu akan menarik.

Sudut Pandang Editor: Rozninah Abdul Azib

Rozninah Abd Azib.

Bercakap selaku mantan editor yang menukangi majalah Dewan Sastera terbitan DBP, Rozninah memulakan perkongsiannya dengan persoalan, apakah ciri yang membolehkan cerpen tersiar dalam majalah? Juga, apakah yang berlaku pada cerpen yang tiba di meja editor atau yang memasuki kotak e-mel editor?

Berdasarkan pengalamannya, editor akan menyimpan semua cerpen yang diterimanya dalam fail (komputer). Oleh sebab majalah terbit setiap bulan, maka untuk setiap keluaran mengikut bulan, editor akan membuka tiga fail, iaitu fail terbit, fail terima dan nilai serta fail tolak.

Apabila tiba masa untuk memilih dan menilai cerpen, editor akan membaca semua cerpen yang dimasukkan dalam fail terima dan nilai. Proses membaca dan menilai cerpen dilakukan tanpa ada rasa bias atau prejudis terhadap cerpen dan penulis cerpen, sama ada penulis itu kawan yang dikenali, sahabat rapat atau orang yang langsung tidak dikenali.

Daripada berpuluh-puluh cerpen yang diterima, dibaca dan dinilai, editor hanya akan memilih empat cerpen, yang dimasukkan dalam fail terbit untuk disiarkan dalam majalah keluaran bulan berkenaan.

Semasa membaca dan menilai cerpen, apakah perkara atau aspek yang dilihat dan dinilai oleh editor? Bagi Rozninah, ada empat perkara yang ditetapkannya dalam penilaian cerpen.

  1. Melihat gaya persembahan cerpen untuk menentukan cerpen itu menarik ataupun sebaliknya.
  2. Mengesan apa pemikiran atau idea yang disampaikan oleh penulis dalam cerpennya.
  3. Mencari “faktor x” yang menjadi kekuatan atau keistimewaan cerpen.
  4. Melihat teknik atau gaya penulisan, seperti gaya bahasa dan alat susastera yang digunakan untuk mencantikkan cerpen itu.

Elakkan meletakkan jumlah halaman atau perkataan, atau panjang pendek sesebuah cerpen sebagai kriteria yang ditekankan dalam proses penilaian cerpen. Maknanya, jangan hanya disebabkan cerpen itu terlalu panjang maka cerpen itu terus ditolak tanpa melihat gaya persembahan, idea dan teknik penulisannya.

Jika menerima cerpen yang terlalu panjang atau agak pendek, editor sebaik-baiknya menghubungi penulis dan meminta penulis mengolah semula cerpen agar menepati jumlah halaman yang sesuai untuk disiarkan dalam majalah. Untuk satu cerpen, jumlah halaman yang sesuai ialah lapan hingga 10 halaman dalam kertas bersaiz A4.

Format karya untuk majalah Tunas Cipta.

Penulis juga harus mengetahui bahawa satu cerpen yang dihasilkan dalam 10 halaman itu hanya mengisi empat halaman majalah kerana majalah telah ada had keseluruhan halamannya. Oleh sebab itulah, jangan menulis cerpen melebihi halaman yang telah ditetapkan oleh penerbit jika mahu cerpen kita dibaca, seterusnya disiarkan oleh editor.

Hal sampingan lain yang perlu diketahui oleh penulis ialah aspek teknikal dalam penulisan cerpen. Penulis sebaik-baiknya mengetahui aspek teknikal yang ditetapkan oleh penerbit berkaitan dengan format penulisan cerpen, seterusnya proses penghantaran cerpen.

Maka, patuhilah format penyediaan manuskrip cerpen seperti menggunakan jenis fon Arial atau Times New Roman bersaiz 12, penaipan langkau dua baris dan jumlah halaman atau perkataan tidak melebihi jumlah yang ditetapkan oleh penerbit.

Yang paling penting, kurangkan atau kalau boleh elakkan kesalahan kecil tetapi merumitkan kerja editor, iaitu kesalahan tatabahasa, terutama ejaan dan tanda baca.

Idea Mudah Menulis Cerpen: Isu Semusim

Akhbar atau majalah pasti akan menyiarkan cerpen mengikut musim apa yang berlaku pada bulan berkenaan. Hal itu disebut isu, peristiwa atau tema semusim. Contohnya, musim perayaan (seperti Hari Raya Aidilfitri, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai), musim cuti sekolah, sambutan bulan kemerdekaan, hari meraikan ibu, guru, pekerja dan sebagainya, termasuklah musim pesta buku.

Isu atau tema semusim ini berulang setiap tahun. Maka, dengan adanya isu, peristiwa dan tema semusim, penulis boleh merancang kisah apa yang mahu ditulis berdasarkan isu semusim itu. Misalnya, untuk majalah keluaran September, isu semusim ialah Hari Malaysia.

Mengikut kebiasaannya, editor majalah akan menyiarkan cerpen yang kisahnya tentang pembentukan Malaysia. Untuk membolehkan cerpen disiarkan mengikut musimnya, penulisan cerpen harus diselesaikan dan dihantar kepada editor dalam tempoh empat bulan sebelum tiba musim itu.

Maka, apabila tiba musim itu pada bulan berkenaan, cerpen kita sudah ada dalam tangan editor dan berpeluang untuk disiarkan bagi memenuhi isu semusim tadi.

Sebagai penutup perkongsiannya, Nisah menyatakan, penulis bukan hanya menulis tetapi perlu juga mengiklankan dirinya dan menjenamakan peribadinya.

Namun begitu, yang paling penting, mulakan langkah pertama dengan menulis cerpen pertama berpandukan prinsip penulisan cerpen serta mematuhi kriteria yang ditetapkan oleh penerbit.

Jika cerpen berjaya menembusi penilaian editor, maka itulah kepuasan pertama sebagai penulis cerpen kerana dapat melihat cerpen sendiri tampil penuh bergaya mengisi ruang karya kreatif dalam akhbar atau majalah.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi