26 Julai 2021, 17:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sejak dari tahun 2017, Sunting dan Nilai Sehingga Cantik (SUNTIK) telah bergiat aktif dalam aktiviti sastera di Sabah. Program kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) cawangan Sabah ini akan membincangkan dan menilai karya anak tempatan yang tersiar di dalam Harian Ekspress dan Utusan Borneo. Penilaian tersebut akan dibuat oleh tokoh sastera berpengalaman, selain menyediakan platform Sembang Suntik untuk penulis muda berdiskusi secara santai mengenai karya yang diterbitkan. Slot tersebut bersiaran secara bulanan dan boleh ditonton di SUNTIK | Facebook.

Sebanyak 21 buah cerpen telah dinilai oleh Nisah Haron dan cerpen pilihan pada kali ini ialah “Hujan Subuh Rabu”, karya Ruhaini Matdarin.

“Cerpen yang terpilih untuk disiarkan pada kali ini merupakan karya yang bagus. Penulis dilihat peka dengan alam sekeliling, pemikiran yang dibawa melangkaui sempadan negara dan mempunyai potensi untuk pergi jauh dalam dunia  kepengarangan,” ujar Nisah Haron dalam slot penilaian cerpen SUNTIK Siri 2/2021.

Nisah turut berpendapat bahawa sesebuah karya itu mengandungi beberapa elemen; mesej yang ingin disampaikan ialah muatan sesebuah kenderaan, kenderaannya ialah bentuk karya sama ada cerpen, puisi atau lain-lain, dan pemandunya ialah plot atau watak yang akan menggerakkan kenderaan tersebut. Pembaca berhak menikmati perjalanan yang tenang, menyeronokkan dan memberi pulangan pelaburan emosi yang berbaloi.

Sebanyak 21 buah cerpen telah dinilai dan cerpen pilihan penilai pada kali ini ialah cerpen “Hujan Subuh Rabu”, karya Ruhaini Matdarin. Selain memiliki gaya penceritaan yang tersendiri, unsur saspens dan perkembangan watak yang ‘menjadi’ telah mengangkat cerpen ini ke satu tahap yang lebih tinggi.

Bagi memahami konsep Plot Driven dan Character Driven yang dikongsikan beliau pada awal sesi tersebut, beliau mencadangkan siri Fullmetal Alchemist 2003 dan Fullmetal Alchemist Brotherhood sebagai rujukan penulis.

Elemen estetika antara penekanan yang diberikan oleh Ja’afar Hamdan ketika slot penilaian puisi.

Selain daripada penilaian cerpen, penilaian puisi turut diadakan pada hari yang sama oleh Ja’afar Hamdan. Beliau lebih cenderung kepada penulisan puisi dan turut aktif dalam menulis cerpen dan esei kritikan. Dua kumpulan puisi beliau yang sudah diterbitkan ialah Bunga Yang Menangis dan Aku Masih Mahu Cinta.

Setelah meneliti 96 buah puisi yang diberikan penganjur, beliau telah memilih 20 puisi yang paling menepati topik perbincangan pada kali ini, iaitu tiga perkara utama dalam pembikinan sesebuah puisi; estetika, komunikasi dan simbolisme.

“Sajak atau puisi merupakan kata-kata terbaik dalam susunan terbaik. Kata-kata terbaik menjadi landasan untuk membina susunan terbaik. Kata-kata terbaik ini dinilai dari unsur estetikanya serta kebolehan karya itu berkomunikasi seperti yang diharapkan. Penggunaan simbolisme pula memerlukan daya sensitiviti yang tinggi dan daya interpretasi yang tersendiri. Oleh itu, pengarang puisi tidak boleh lari dari menguasai ketiga ciri-ciri tersebut,” ulas Ja’afar Hamdan yang merupakan karyawan Sarawak.

Puisi pilihan penilai pada kali ini ialah puisi “Nyanyian Hidup”. Puisi ini dilihat mempunyai unsur ambiguiti, selain mempunyai penggunaan tanda dan simbol yang santai. Karya Mabulmaddin Shaiddin ini dilihat paling menepati konsep yang dibicarakan dalam sesi kali ini.

 

 

Nyanyian Hidup oleh Mabulmaddin Shaiddin

Hidup adalah kesepian yang dijanjikan

Sungai yang sunyi tanpa sampan

Hidup adalah kesendirian yang diabaikan

Lorong hutan yang menyeramkan

AKu pernah sampai ke suatu waktu

Dan kujumpa dirimu duduk bersimpuh

Kautuangkan sesuatu ke dalam gelasku

Sambil berbisik akan

Keraguan dan kehampaan yang saling senyum

Cinta dan hiba nan saling angkat tangan

Justeru aku mendampingi sendiri diriku

Belajar sungguh-sungguh akan erti malu

Kerana hidup adalah pengembaraan

Di mana engkau mati, di situ engkau dikuburkan.

 

Karya-karya yang dibincangkan dalam slot ini boleh dibaca melalui Telegram Karya Akhbar Sabah (KASA).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.