26 Julai 2021, 12:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Berdasarkan bancian ringkas yang dijalankan di laman Facebook Book Surgeon, rata-rata pengikut laman tersebut lebih cenderung memilih buku fizikal sebagai medium bacaan mereka berbanding dengan buku elektronik.

Oleh itu, Book Surgeon melalui aplikasi Clubhouse telah menganjurkan satu diskusi santai bagi mengupas kecenderungan pembaca pada masa kini dalam memilih medium pembacaan. Diskusi “Membaca: Maya atau Nyata” yang menampilkan L, seorang penulis blog dan juga pengulas buku sebagai panel jemputan.

L ketika berkongsi pengalaman tentang pembacaannya, beliau menyentuh mengenai kelebihan buku elektronik yang lebih praktikal dan luas capaiannya untuk pembaca mengakses buku tersebut. Gaya hidup dasawarsa ini telah memberikan kelebihan kepada buku elektronik yang boleh dibaca di mana-mana dan pada bila-bila masa sahaja. “Hanya dengan satu klik, ribuan buku boleh diakses. Perpustakaan dunia berada dalam genggaman pembaca,” tambah beliau.

Menurut Hafiz Latiff, pandemik COVID-19 yang melanda negara turut memberi kesan kepada industri penerbitan dan percetakan buku fizikal. Oleh itu, syarikat penerbitan buku harus mengorak langkah dalam bidang pendigitalan  buku demi kelangsungan industri ini. Namun di Malaysia, kesediaan syarikat penerbitan untuk mendigitalkan buku fizikal yang sudah terbit masih belum bersedia sepenuhnya.

Buku fizikal ada bau, jiwa, imiginasi dan nilai sentimental yang tinggi pada setiap satunya. – Myy Maslina

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) merupakan antara institusi yang menyambut baik kehadiran trend buku elektronik demi mendepani cabaran pandemik. Sebagai contoh, majalah terbitan DBP seperti Tunas Cipta, Dewan Sastera, Dewan Bahasa dan lain-lain boleh dibaca melalui aplikasi FlipHTML 5. Majalah fizikal turut diterbitkan dalam kuantiti yang terhad bagi memenuhi kehendak pembaca yang lebih menggemari naskah fizikal.

Ujar salah seorang pendengar Nazlie Amri, “Buku fizikal dan buku elektronik tidak seharusnya dilihat saling bersaing, namun sebaliknya kedua-dua medium ini sebenarnya saling melengkapi. Buku fizikal tetap ada penggemarnya atas faktor tertentu. Buku elektronik pula dilihat berjaya menggalakkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat pada hari ini dan seterusnya menjadikan budaya ini tetap relevan seiring dengan kepesatan teknologi.”

Buku fizikal seperti rakan. – Aishah Adilah

Sebelum program berakhir, Muhammad Aslam selaku moderator program menyeru rakyat Malaysia supaya kembali menjadikan membaca sebagai budaya, sama ada buku fizikal mahupun elektronik. Beliau juga turut mengajak lebih ramai pendengar untuk menyertai diskusi santai anjuran Book Surgeon melalui aplikasi Clubhouse.

 

Program diskusi Book Surgeon pada kali ini menampilkan L dalam membincangkan tentang buku fizikal dan buku elektronik.

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.