Oleh Orked Una
23 Julai 2021, 11:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Setiap manusia tidak pernah lari daripada berhadapan dengan masalah dan cabaran kehidupan. Bukan sesuatu yang janggal apabila seseorang berasa diri mereka berada pada satu titik melemahkan dan melelahkan jiwa penanggungnya.

Yang membezakan seseorang mampu bangkit semula dan merawat jiwa mereka, apabila mereka bertindak untuk keluar mencari penyelesaian, kenal pasti sesuatu yang memberikan kesan kepada mereka dan tidak berlama-lama dalam perasaan yang menyesakkan dan membelenggu mereka.

Apakah cara untuk membantu seseorang bangkit dan mampu mengharungi kehidupan? Salah satunya ialah terapi diri melalui pembacaan.

Hafizul Faiz.

“Membaca merupakan satu proses penyembuhan yang sangat berkesan. Hal itu dikatakan demikian kerana, membaca adalah biblioterapi yang membuka ruang untuk berbicara dengan diri kita tentang hal tertunggak dan soalan besar yang penting,” kongsi Mohd Hafizul Faiz, Pengarah JIWA dalam sesi Curhat JIWA 2 yang dihoskan oleh Iman Danial Hakim, Duta Buku JIWA.

“Membaca buku dapat membentuk keperibadian seseorang menjadi lebih baik, terutama dalam berkomunikasi. Selain itu, seseorang dapat meningkatkan kosa katanya, garapan bahasa yang bagus; jelas, tepat, dan halus apabila membaca,” tambah Hafizul lagi.

Selain itu, beliau turut menyatakan bahawa membaca itu satu proses mendewasakan untuk menapis pelbagai berita. Apabila mendengar sesuatu isu, kita tidak sepatutnya mudah menerima bulat-bulat. Orang yang membaca ialah orang yang sangat bagus dalam menimbang, membuat perbandingan dan sabar tanpa memberikan respons segera, berfikir jauh, ada idea dan wacana dan tahu apa yang boleh diberi kepada masyarakat.

Program ini disiarkan melalui Twitter Spaces @WehNakBacaAPaNi dan @inibukujiwa pada 23 Julai 2021, pukul 9.30 malam. Selain Hafizul, ahli panel yang terlibat ialah Syahira Hozami, Hani Jamal,Kauthar Rozmal, Fakhri Fadzil, Ajwad Shafie dan Kiridaran.

Berikut ialah judul buku yang dikongsi oleh ahli panel dalam program tersebut:

  1. Secrets to Divine Love oleh Sanah A.Helwa
  2. Jaddid Haytak: Hiduplah Untuk Hari Ini oleh Syeikh Muhammad AL-Ghazali
  3. Ya Allah, Aku Lelah: Kerana Hanya Kepada-Mu Aku Kembali oleh @Nasihatku
  4. Di Mana Dia Di Hatiku? oleh Ustaz Pahrol Mohd Juoi
  5. Muda Berdaya Karya Raya oleh Fadh Pahdepie
  6. Maybe You Should Talk to Someone oleh Lori Gottleb
  7. Good To Great oleh Jim Collins
  8. Tuesdays with Morrie oleh Mitch Albom
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.