Oleh Pui Wen Hang
23 Julai 2021, 09:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dr. Adibah mengurut-urut pinggang belakangnya sambil melentik. Sendi-sendinya menusuk daging. Kepala didongakkan, mata dipejamkan. Keluh dilepaskan, bergema di ruang pejabat sepi. Batu hempedu menyekat aliran darah jantungnya apabila perkataan yang rapat-rapat ditangkap oleh kening yang berkedut.

Belakangan ini, Dr. Adibah memulakan projek penulisan novel peribadi. Tercetuslah nyala dalam sekam ketika keadilan membelakanginya. Nyala itu meliang-liuk makin besar sehingga mampu membakar ladang yang sudah lama ditugal dan dibajanya.

Ya, ladang itu telah dijajah oleh pensyarah lain! Pensyarah itu tidak mengambil kesusasteraan sebagai bidang pengkhususan, tidak mempunyai gelaran kedoktoran, bahkan mengajar tanpa projektor, lembaran kerja atau kad manila. Aktiviti simulasi, main peranan dan pembentangan sering ditugaskan tanpa panduan.

Semasa murid menyampaikan pembentangan, dia tidur di belakang; semasa murid membuat simulasi, dia ketawa berdekah-dekah tanpa memberikan ulasan. Angin berputar, ombak bersabung. Dr. Adibah menumbuk mejanya. Apa gunanya bulan terang di hutan, jikalau di negeri betapa baiknya.

Persuratan dinilai sebagai hobi sampingan yang tidak menghantar kesan yang mendalam kepada pembinaan bangsa. Istilah “persuratan” sudah lama tidak diperdebatkan dalam mesyuarat. Yang sering kedengaran hanya falsafah pendidikan, anjakan paradigma dengan inovasi dan pedagogi. Apabila tatabahasa disinggung, semua pensyarah mula bermain telefon atau merantai mulutnya sambil menyediakan pandangan. Mereka tidak pernah berbahas dengan berdasarkan buku Tatabahasa Dewan atau Petunjuk Tatabahasa Bahasa Melayu sekurang-kurangnya. Pancang rumah di institut ini longgar-longgar belaka.

Indah khabar daripada rupa Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Sanggar Bahasa. Keris sudah lama disimpan di dalam sarung. Lekuk dan bisanya tidak diperkatakan lagi.

“Belum pulang lagi?” Dr. Mahaya, pensyarah tatabahasa yang mempunyai perut gelembung itu berjalan terkedek-kedek mendekati Dr. Adibah. Senyum penyayang mengakrabkan wajah.

“Belum lagi, Kak Ya. Dibah ingin menyiapkan bab ketiga, inikan pula masih bertatih-tatih.” Dr. Adibah mengadu.

“Alah, menulis novel? Banyak lagilah kerja yang perlu kita buat. Utamakan tugas dahulu, Dibah. Bahan kuliah dalam talian esok pun belum disediakan lagi. Novel … kemudiankanlah, takkan lari gunung dikejar.”

“Nak mengejar gunung? Gunung dipandang sepi. Biar Dibahlah yang mengejar gunung itu.” Dr. Adibah menjawab sambil duduk tegak.

Dr. Mahaya tersengih. Bicara mereka terhenti seketika apabila pandangan Dr. Adibah tunduk. Dr. Mahaya lekas menatal telefon pintarnya untuk membaca mesej WhatsApp yang sudah dibacanya sejak dua jam yang lepas.

“Kak faham, Dibah… .”

“Siapakah yang mencadangkan keputusan itu?” Dr. Adibah bersuara setajam jarum.

“Sabarlah, Dibah. Kalau asal benih yang baik, jatuh ke laut menjadi pulau.” Suara Dr. Mahaya seperti debur laut yang tenang.

“Panjangnya sumbu ada hadnya. Dibah tidak mungkin membisu sebagai anak kambing. Adat gajah terdorong!” makin lantang suara Dr. Adibah.

Dr. Mahaya membeliak lalu menundukkan pandangannya. Pandangan yang tajam tadi digulung semula ke bawah pelupuk mata Dr. Adibah.

“Maafkan Dibah, Kak Ya. Belakangan ini, Dibah bagai air diminum terasa duri, nasi dimakan terasa sekam. Mengapakah mereka hendak menyingkirkan Dibah daripada Jabatan Persuratan Melayu?” Dr. Adibah melembutkan suara sambil menggeleng. Pandangannya terkulai, tidak setajam tadi.

“Adat sungai ada buayanya. Air pun ada pasang surutnya. Terimalah, Dibah. Yang penting kak menyokong usaha Dibah itu.” Dr. Mahaya tersenyum sambil memegang tangan Dr. Adibah.

“Baiklah, kak nak balik dulu, jangan lewat sangat bertapa!” Dr. Mahaya mula bangun dari kerusi.

Setelah berpeluk-pelukan, Dr. Adibah duduk semula di atas kerusi. Dia tahu bahawa kesepian akan bertamu lagi, tetapi api nan tak kunjung padam.

Kuman di seberang lautan tampak, gajah di pelupuk mata tiada tampak. Orang suka mencari kesalahan. Apabila meminta kursus Kesusasteraan Melayu, Ketua Jabatan Pengajian Melayu, Dr. Lokman mengangguk. Pada hari esok, yang dihantar Dr. Lokman bukan Ringkasan Maklumat Kursus (RMK) Kesusasteraan Melayu, tetapi Sintaksis Bahasa Melayu. Dr. Adibah terkesima. Lumpuh seketika seluruh badannya. Padi dicita, lalang merata.

Bukannya Dr. Adibah tidak suka kepada Sintaksis Bahasa Melayu. Ijazah sarjana mudanya pendidikan Bahasa Melayu. Ijazah sarjananya Linguistik Melayu. Akan tetapi, Dr. Adibah lebih cenderung kepada ijazah kedoktorannya; Kesusasteraan Melayu. Beliau mahu melahirkan siswa yang pandai bermain bunga bahasa berlandaskan ilmu kesusasteraan.

Wajah seorang siswa perempuan yang selalu menongkat wajahnya terbayang dalam fikiran. Pada masa itu, Dr. Adibah sedang mengajarkan Kaedah Pengajaran Bahasa Melayu.

Satu kelas terbahak-bahak apabila Dr. Adibah melenggang-lenggang untuk mencontohkan kaedah pengajaran, kecuali Eryna yang hanya mengangkat bibir delimanya sedikit, kemudian menongkat wajah yang dilemparkan ke luar tingkap. Tudung hitamnya melitupi sepasang mata suram.

Setelah semua orang bersurai, Eryna masih mengemas begnya. Kertas notanya berselerak di atas meja. Dr. Adibah mendekati Eryna lalu bertanya sama ada pengajarannya menarik pada hari ini. Eryna mengangkat bibirnya sedikit lalu menjawab “menarik”, tetapi matanya tidak berseri-seri.

Pada masa itu, penyaman udara sudah dimatikan. Rakan sejawatnya sudah memadamkan semua lampu, kecuali yang menyinari sofa ruang rehat di tengah kawasan pejabat.

Dr. Adibah tidak peduli. Biarlah pensyarah lain sibuk mengejar inovasi dan jurnal. Dr. Adibah tetap dengan pendiriannya: kesusasteraan, malah menjangkaui rancangan perkembangan kesusasteraan di IPG.

Beliau yang mempunyai ilmu tatabahasa, pedagogi dan kesusasteraan hendak menggabungkan ketiga-tiga elemen tersebut untuk menjadikan kursus Kesusasteraan Melayu lebih menarik dan kreatif!

Tiba-tiba wajah Eryna terlintas dalam ingatannya. Jari-jemarinya berhenti mengetik kekunci. Perasaannya bagai jong Melayu yang timbul tenggelam di laut serba megah.

‘Mengapa Eryna selalu merenung jendela? Mengapa dia tidak tergelak bersama-sama apabila aku melenggang dengan irama Joget Pahang?’ Dr. Adibah berbisik dalam hati.

***

“Dr. Lokman, inilah surat permohonan saya.” Sekeping sampul surat ditekankan di atas meja kaca. Dr. Lokman mengangkat pandangan, merenung surat itu seketika, kemudian mendongak lalu mengangkat kening.

“Adibah, Adibah… .” Dr. Lokman yang berkepala botak itu menggeleng ketika membuka sampul surat, “Bukanlah saya tidak meluluskan permohonan Dr. Adibah, tetapi jawatannya sudah penuh.”

“Dr. Lokman, bukankah setiap jawatan patut diisi dengan ahli bidang itu menurut hadis?” Dr. Adibah bertanya tegas. Separuh senyumnya sudah disimpan.

“Dr. Adibah… .” Sebelum Dr. Lokman sempat menyahut pertanyaannya, Dr. Adibah meletakkan sekeping sampul surat lagi di atas meja. “Inilah kertas kerja saya tentang wawasan pengajaran kursus Kesusasteraan Melayu di IPG Kampus Sanggar Bahasa.”

Dr. Lokman membeliakkan mata. Dia tidak faham mengapa Dr. Adibah berkali-kali mempertahankan kursus Kesusasteraan Melayu yang kurang memberikan impak dalam bidang perguruan!

“Dr. Lokman, badan kita memerlukan nasi untuk kenyang. Maka nasilah sumber tenaga fizikal bagi badan. Begitu jugalah dengan hati. Hati memerlukan sastera untuk mengerti lapis makna yang lebih dalam. Sastera sumber tenaga kerohanian bagi hati. Bukankah begitu, Dr. Lokman?”

Senyum yang tercoret dengan usia menyerlahkan bibir merah dan pandangan yang tajam. “Setiap tamadun berjaya kerana pembangunan fizikal dan dalaman yang seimbang. Karya sastera menandai puncak kegemilangan pembangunan dalaman sesebuah negara.” Dr. Adibah menamatkan perbualannya.

***

Gelak ketawa memanasi bilik kuliah. Semasa Dr. Adibah mengajarkan teori kesusasteraan seperti psikoanalisis, strukturalisme, Teori Pengkaedahan Melayu, Teori Takmilah dan sebagainya, tiga atau empat orang siswa pendidik pasti berada di hadapan untuk mensimulasikan dialognya.

Melakonkan beberapa babak dibahagikan kepada kumpulan masing-masing. Siswa pendidik diberi kebenaran memakai topi kad manila, menghasilkan keris daripada papan pelekap, menggunakan komputer riba untuk mereka cipta latar tempat dan bunyi. Lagu turut dinyanyikan selepas murid mendeklamasikan sajak atau melafazkan pantun.

Pada suatu kali, lagu Ayah dan Ibu dinyanyikan. Dr. Adibah memaparkan tayangan lagu sambil menyanyi dengan suara yang mendayu-dayu. Eryna menoleh ke arah jendela sekali lagi. Pada kali ini, matanya ibarat kaca yang disinari cahaya.

“Kenapa, Eryna? Boleh berkongsi dengan ibu?” Selepas kuliah tamat, Dr. Adibah menyentuh bahu Eryna sambil bertanya. Eryna membalas pandangannya dengan senyum yang dipaksakan.

Eryna mengesat matanya. Dia menentang mata Dr. Adibah sambil mengemam bibirnya. Tidak pernah seorang pensyarah yang memandang matanya tepat begitu. Mata Dr. Adibah seakan-akan berkata-kata.

“Tidak ada apa-apa … cuma terharu.” Eryna menjawab soalan Dr. Adibah dengan suara yang perlahan.

“Mengapa setiap kali ibu menyanyi, main peranan, berlakon, Eryna tidak tersenyum? Adakah pengajaran ibu tidak menarik?” Dr. Adibah membuntangkan matanya yang sudah bergenang.

“Bukan begitu, ibu. Kerana kuliah ibu, bertambahlah minat Eryna tentang kesusasteraan. Cuma … Eryna,” suaranya tersekat.

Kepala yang tunduk menyebabkan tudung hitam Eryna melindungi keseluruhan wajah. Bahu Eryna mula menggigil. Perkataan yang tergantung menjadi esakan.

“Lagu Ayah dan Ibu mengingatkan Eryna kepada ibu.”

Dr. Adibah terus mendakap Eryna. Mata yang dipejamkan merelakan segaris air mata. Eryna mengerutkan dahi dan melepaskan tangisan pada tudung ungu beliau.

“Salah ibu … ibu tidak memahami latar belakang pelajar ibu.” Dr. Adibah yang kemerah-merahan turut menelan kesebakannya.

Selepas berpelukan sekian lama, Dr. Adibah bersuara sambil melepaskan dakapan.

“Apa kata Eryna mencurahkan perasaan dalam cerpen? Tulis cerpen berdasarkan gaya bahasa yang ibu ajarkan; personifikasi, metafora, asonansi, aliterasi. Bagi ibu semak. Ibu kirim untuk Eryna.”

Eryna merenung mata Dr. Adibah lama-lama.

***

Aktiviti seni bahasa seperti bernyanyi, bercerita, berlakon dan berpuisi tidak asing lagi dalam kuliah Dr. Adibah, malah kelas Eryna sering dibawa keluar ke padang untuk menjalani permainan tradisional. Eryna paling ingat, tingting. Setiap orang yang melompati kotak tingting mesti menjawab satu soalan kuiz tentang kesusasteraan Melayu.

Cerpen Eryna yang berjudul “Dondang Terakhir” tersiar dalam majalah Tunas Cipta. S.M. Zakir, penulis cerpen yang amat menekankan perincian latar, turut mengakui bahawa dia mengalirkan air mata ketika menghayati suasana melankolik yang begitu nyata itu.

Nama Eryna disebut-sebut dalam mesyuarat. Semua pensyarah memuji kewibawaan Dr. Adibah dalam pelahiran siswa pengkarya. Usaha tersebut sudah dipinggirkan sekian lama.

Kewibawaan Dr. Adibah semakin diiktiraf. Semua pensyarah Jabatan Pengajian Melayu hanya mampu menjeling atau mendengus diam-diam apabila mendengar pembentangan Dr. Adibah. Berdasarkan pembentangan beliau, 90 peratus pelajar memberikan maklum balas positif tentang kaedah pengajarannya dalam kursus Kesusasteraan Melayu.

“Tidak pernah ada pensyarah yang menggunakan simulasi dan main peranan, jelajah galeri, round robin untuk aktiviti koperatif, malah aktiviti bercerita, bernyanyi, berlakon dan berpuisi! Sanggar bahasa kita gemilang semula!” Pengarah menepuk lengan Dr. Adibah.

Berkat Tuhan begitu dirasai apabila Eryna selalu berkunjung ke bilik pejabatnya tanpa sebab. Dr. Adibah akan menghulurkan cawan dan sebungkus kopi Ali Cafe kepadanya. Pipi Eryna yang kemerah-merahan selalu memujuk hatinya. Rasa malu sederhana anak itu benar-benar mengasihani jiwa.

Akhirnya, novel Dr. Adibah telah siap dan dihantar kepada syarikat penerbitan. Jari-jemari yang menari dengan irama menawarkan pulangan yang demikian lumayan. Tanpa azam dan kasih, siapalah Dr. Adibah sebagai pejuang kesusasteraan?

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

Yang Berkaitan

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.