Oleh Mimi Musa
22 Julai 2021, 12:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Allahyarham Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz  bin Ungku Abd. Hamid merupakan ilmuwan dan cendekiawan yang berjasa dan telah memberi sumbangan besar kepada negara kita dalam pelbagai bidang termasuk dalam bidang sastera. Ungku Aziz merupakan Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang dilantik setelah berlangsungnya Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu III di Singapura dan Johor Bahru pada tahun 1956.

Kemudian, kekuatan dalam bidang akademik telah membuatkan beliau pulang ke dunia akademik di Universiti Malaya (UM). Setahun keberadaan Ungku Aziz di DBP telah meletakkan asas kepada hala tuju DBP pada masa itu. Beliau telah membawa semangat perjuangan bangsa dan bahasa ke kampus dengan melaksanakan beberapa pembaharuan yang memberi kesan hingga hari ini.

Hal ini telah dikongsikan oleh YBhg. Kapten Dato’ Profesor Emeritus Dr. Hashim Yaacob (B) dalam Program Canai Bahasa dan Sastera: Peranan dan Sumbangan Ungku Aziz dalam Bidang Bahasa, Sastera dan Budaya menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP yang dikelolakan oleh Abdul Ghani bin Abu.

Program Canai Bahasa dan Sastera: Peranan dan Sumbangan Ungku Aziz dalam Bidang Bahasa, Sastera dan Budaya

Sewaktu pascamerdeka, Ungku Aziz telah mengembangkan keintelektualan beliau di universiti. Hashim berkata, “Beliau sangat prihatin terhadap apa-apa yang asli oleh negara kita. Jika sebelum merdeka kita terpaksa menurut kehendak penjajah, pascamerdeka pula Ungku Aziz telah membentuk jati diri sewaktu memimpin UM. Beliau telah menyahut seruan kerajaan untuk memartabatkan bahasa Melayu pada waktu itu dengan meminta semua pensyarah mengajar dalam bahasa Melayu kecuali subjek yang sukar seperti bidang perubatan. Selain itu, beliau turut menubuhkan Akademi Pengajian Islam dan Akademi Pengajian Melayu.”

Ketika berkhidmat sebagai Naib Canselor pada tahun 1978, Ungku Aziz telah melaksanakan rancangan penulisan kreatif dan deskriptif di Fakulti Sastera bersama-sama Prof. Dr. Abu Bakar A. Hamid. Tambah  Hashim lagi, “Ungku Aziz mahu buat sesuatu supaya orang lebih pandai menulis dan berkarya untuk menyatakan hasrat. Prof. Abu Bakar diminta menubuhkan jabatan yang dikenali sebagai Jabatan Penulisan Kreatif dan sekarang dikenali sebagai Jabatan Pengajian Media setelah berlaku pengembangan.”

Selain itu, Ungku Aziz juga mempunyai penghargaan terhadap puisi, terutamanya puisi  tradisional iaitu pantun. Walaupun bukan berlatarbelakangkan pendidikan sastera, beliau suka menghayati maksud makna dan hasrat yang ada dalam sesuatu pantun. Menurut Hashim, Ungku Aziz suka mencari pantun yang mirip kepada gagasan teknikal dan gagasan jait diri.

“Ungku Aziz pernah beritahu saya bahawa beliau minat untuk mengkaji pantun. Beliau pernah diundang membaca puisi ke majlis baca puisi yang dianjurkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan beliau memenuhi undangan tersrbut,” ujar Hashim ketika mengulas tentang minat Ungku Aziz terhadap puisi tradisional.

Hashim telah menulis sebuah buku yang berjudul Ungku A. Aziz: Di Sebalik Seorang Tokoh. Antara kandungan buku tersebut ialah berkaitan sumbangan Ungku Aziz dalam bidang bahasa dan sastera. Walau bagaimanapun cetakan buku ini tertangguh akibat arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara pada waktu ini.

Tonton Program Canai Bahasa dan Sastera: Peranan dan Sumbangan Ungku Aziz dalam Bidang Bahasa, Sastera dan Budaya

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.