Oleh Mimi Musa
21 Julai 2021, 12:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Agak mengejutkan apabila tiada penerima utama bagi ketiga-tiga kategori iaitu sajak, esei dan cerpen dalam Hadiah Sastera Selangor (HSS) pada tahun 2020. Walau bagaimanapun, penulis muda terus mengungguli anugerah yang sudah masuk tahun kelima ini.

Faisal Tehrani atau nama penuhnya, Mohd Faizal Musa yang dilantik sebagai ketua juri HSS 2020 mengatakan bahawa pihak juri berasa kesal kerana tiada karya yang benar-benar matang dan utuh pada tahun 2020. “Mutu karya merosot dan juri memutuskan untuk tidak memberikan hadiah utama,” katanya semasa membacakan ulasan penjurian.

Jed Stellarose

Jed Stellarose yang memenangi hadiah utama dalam HSS 2018 melalui karya “Perahu Kertas yang Berlayar di Bawah Rambutmu” sekadar berpuas hati menerima hadiah penghargaan dalam HSS 2020 melalui sajak “Tubuh yang Terpecah Menjadi Catatan”.

Penyair muda yang sering menampilkan kelainan dalam persembahan sajaknya, iaitu Jack Malik juga hanya menerima hadiah penghargaan untuk sajaknya “Teluk Kumbar”. Jed dan Jack Malik masing-masing pernah menerbitkan buku kumpulan puisi dengan Penerbitan Kata-pilar, iaitu “Gaun Bulan” dan “Sajakjakja(c)k”.

Sajak Jack Malik turut tersiar dalam majalah Tunas Cipta.

Sajak “Mata Wang” oleh Siti Alimah turut dipilih oleh juri untuk menerima hadiah penghargaan. Laman media sosial Tukang Puisi dan beberapa buah laman lain sering muat naik karya Alimah. Hanya tiga buah sajak daripada 49 buah yang dinilai oleh para juri diumumkan untuk menerima hadiah penghargaan bagi kategori tersebut.

Bagi kategori esei pula, Mohamed Nazreen Shahul Hamid telah menerima hadiah penghargaan untuk tahun ketiga berturut-turut sejak HSS 2018. Eseinya yang dipertandingkan untuk HSS 2020 berjudul “Tipu Daya Filem Wira Kulit Putih”. Tiga lagi penerima lain yang menerima hadiah penghargaan ialah Jaymani Sevanathan (“Ketidakjujuran Bahasa”), Daniyal Kadir (“Kejantanan dalam Filem Melayu”) dan Saiful Ghazali (“Romantis Penjenayah Novel Melayu”).

Daniyal Kadir pernah menjadi penulis tetap ruangan “Pena Sutera” dalam majalah Tunas Cipta.

Nama Saiful Ghazali sekali lagi disebut apabila beliau turut menerima hadiah penghargaan bagi kategori cerpen melalui karya “Kuncitara”. Dua orang penulis muda yang mula mendapat perhatian dengan karya berani mereka ialah Farahin W (“Mak Minah Hilang Kain Kafan”) dan Md Fariq Khir (“Kau Apa Khabar Hari Ini Melissa”).

Turut diraikan sebagai penerima hadiah penghargaan bagi kategori cerpen ialah Jaya Ramba melalui karya yang berjudul “Sapat”. Jaya Ramba, penulis dari Sarawak yang sering menulis cerpen dalam bahasa Iban. Secara keseluruhannya, terdapat 41 buah cerpen telah dinilai oleh pihak juri.

Walaupun dikatakan mutu keseluruhan karya merosot, namun HSS merupakan ruang bagi penulis dan karyawan untuk menambah baik karya mereka. Menteri Besar Selangor, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Amirudin Shari yang turut mendeklamasikan puisi dalam majlis ini berkata, “Kerajaan negeri Selangor sedang merangka untuk bekerjasama dengan pihak Dewan Bahasa dan Pustaka bagi menambah baik mutu HSS. Kategori baharu akan ditambah, iaitu novel dan penjurian boleh diambil kira daripada karya yang terbit dalam medium lain, selain Selangorkini.

HSS 2020 menutup tirai dengan 11 nama penerima. Setiap penerima hadiah sagu hati HSS 2020 akan menerima wang tunai bernilai RM1 000 bagi setiap kategori. Majlis HSS telah disiarkan secara langsung dalam laman sosial Facebook Media Selangor.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.