19 Julai 2021, 10:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Sembang Cangkir akan membicarakan secara santai berkaitan sastera tanah air melalui laman Facebook CangkirPena.

 

Kuala Lumpur – “Sastera perlu dilihat dengan sekerap mungkin dan di mana-mana sahaja. Oleh itu, kita perlu merakyatkan sastera dalam kalangan masyarakat melalui pelbagai kaedah dalam kehidupan seharian dan sekali gus merupakan antara usaha untuk mengetengahkan karya sastera”, ujar Hafizi Ahmad, pembicara dalam program Penerbitan Derivatif Karya Sastera anjuran CangkirPena.

Hafizi yang juga merupakan penggiat sastera mengambil contoh negara jiran, Indonesia yang benar-benar mengamal dan meraikan budaya derivatif terhadap hasil karya negara itu.  Beliau turut menyentuh aspek terjemahan sebagai antara kaedah utama untuk memajukan lagi sastera negara.

“Di Indonesia, apabila saya hadir ke pesta buku di sana, perkara pertama yang menyambut kedatangan saya ialah penjualan cenderamata yang memetik kata-kata penulis dalam penulisannya. Mereka benar-benar mengangkat pengkarya untuk peminat kenal dengan lebih dekat lagi. Maka terhasillah terjemahan buku dan kemudian diikuti dengan filem dan sekali gus menjadikan karya itu lebih besar dan dikenali ramai”, jelas beliau.

Hafizi turut menyatakan bahawa derivatif karya, iaitu pengalihan karya daripada satu sumber (medium) kepada sumber yang lain bukan sesuatu yang asing. Contoh paling jelas ialah adaptasi novel ke layar perak yang merupakan satu cabang kreatif yang memberi nilai tambah kepada karya kerana melibatkan lebih banyak pihak seperti penglibatan pelakon dan pengarah.

“Terdapat pelbagai faktor yang mendorong sesebuah penulisan diangkat ke medium layar perak, tetapi yang paling utama ialah kekuatan jalan cerita, dialog serta watak. Ketiga-tiga elemen ini saling berkait kerana yang paling penting ialah isi yang hendak disampaikan melalui perkembangan karakter dan jalan cerita yang menarik minat penonton, bukan hanya penulisan yang statik”, katanya.

“Tetapi penambahan nilai kreatif dalam adaptasi juga perlu berpada-pada dan jangan sesekali mengubah sepenuhnya idea asal pengkarya tersebut. Adaptasi ialah penyesuaian dan bukan mengikut sepenuhnya seperti dalam penulisan. Oleh itu, penyesuaian yang dibuat perlu ada perbincangan dan keizinan daripada pengkarya asal demi mengekalkan identiti asal karya tersebut,” tambah beliau.

Sembang Cangkir turut dihadiri penggiat sastera lain seperti Hafizul dan Mulia masing-masing sebagai penyoal dan pencelah dalam program tersebut yang bersiaran secara langsung di laman Facebook CangkirPena pada malam tadi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.