Oleh Mimi Musa
19 Julai 2021, 12:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Seorang penyair dan penulis mapan, Nik Mohd Iznan Tuan Yaakob atau nama penanya, Nimoiz T.Y berkata bahawa dia pernah melakukan eksperimen sains di reban ayam ketika kecil kerana terpengaruh dengan bacaan buku penyiasatan kanak-kanak.

“Saya terdedah dengan pelbagai bahan bacaan sejak kanak-kanak hingga sekolah menengah. Ada ketikanya, saya bertukar-tukar buku dengan kawan. Pengalaman menulis saya bermula selepas tamat Sijil Peperiksaan Malaysia,” katanya dalam rancangan “Bicara Ilmu: Membenih Fikir, Menunas Rasa, Menuai Kata” yang disiarkan melalui laman Facebook Bicarawara.

 

Azian Mohamed Isa, hos rancangan “Bicara Ilmu: Membenih Fikir, Menunas Rasa, Menuai Kata”.

Dalam program tersebut, Nimoiz T.Y yang juga alumni Minggu Penulis Remaja ini berkongsi tentang proses penghasilan puisi, iaitu proses tercipta dan mencipta. Menurut beliau, proses tercipta merupakan idea yang datang secara tiba-tiba. Contohnya, mendapat ilham ketika berada di tepi laut atau sungai.

Proses mencipta pula melibatkan idea yang kita lahirkan. Contohnya, karya yang dicipta apabila berada di hadapan komputer dan cuba menulis puisi. “Dalam penulisan puisi, faktor yang penting selain daripada metafora ialah gaya bahasa. Hal ini demikian kerana, gaya bahasa yang biasa lebih sesuai untuk penulisan esei,” tambahnya ringkas.

Nimoiz T.Y

Apabila diminta oleh hos rancangan, iaitu Azian Mohamed Isa untuk berkongsi tentang cabaran kepelbagaian medium teknologi pada masa ini,  Nimoiz T.Y meminta para pendengar mengenal pasti sama ada mereka mahu menjadi penulis buku atau aktivis dunia pembukuan.

Katanya, “Kita boleh menjadi salah satu atau kedua-keduanya. Teknologi memang akan sentiasa bergerak. Sekarang ada pelbagai medium seperti WhatsApp, Facebook, YouTube dan Tiktok. Namun demikian, jika mahu mengejar semua, akhirnya kita akan menjadi pengikut sahaja. Gunakanlah teknologi untuk memudahkan kita dalam penulisan kerana dengan teknologi membolehkan kita menulis di mana-mana sahaja.”

Sambungnya lagi, “Gunakan teknologi untuk mengembangkan tulisan kita. Pada masa yang sama, perlu ambil tahu juga perkembangan semasa seperti penggunaan medium untuk pemasaran buku, tetapi biarlah fokus pada satu sahaja. Perkara yang lebih penting bagi seorang penulis, kita harus terus menulis kerana tugas penulis ialah menulis dan bukan mengejar teknologi.”

Pada akhir rancangan ini, Nimoiz T.Y berkongsi 10 tugas penulis iaitu berkongsi kisah diri, keluarga jiran dan masyarakat, mengisi masa lapang, minat yang mendalam dan kepuasan diri, sumber kewangan dan mendapat pengiktirafan, melontarkan pandangan dan pendapat, menyuarakan perasaan tidak puas hati terhadap isu, mendidik dan berdakwah, menjana minda dan memperkasa bahasa serta sastera

“Menyampaikan dan mengembangkan ilmu ialah tugas paling utama. Jika kita mengutamakan ilmu, perkara lain akan datang serentak. Jika kita hantar karya dan diterbitkan, secara tidak langsung kita akan mendapat imbuhan dalam bentuk wang. Jadi, menulislah untuk menyampaikan ilmu,” kata beliau sebagai mengakhiri sesi yang diadakan selama sejam ini.

Bicarawara merupakan laman sosial Facebook yang menjadi medan wacana untuk memberikan kandungan terhadap hal-hal berkaitan dengan sastera, perbukuan, seni, filem, kewangan, isu semasa dan budaya. Bicara Ilmu pula merupakan segmen untuk ahli akademik berkongsi nyala rasa dan kandungan yang bermanfaat kepada khalayak.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.