16 Julai 2021, 11:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Media Selangor melalui Twitter Space, @media_selangor mengumpulkan para penulis tanah air dalam slot perbincangan bertajuk, “Sembang Sastera: Nak Tulis Apa?”. Perbincangan bersifat terbuka ini dikendalikan oleh Hafiz Latiff, dan dibarisi oleh pembicara jemputan, iaitu Fazallah Pit, Nadia Khan, Mosyuki Borhan dan Wani Ardy.

Hafiz Latiff (Sumber foto: Google)

Sebagai penjaga gawang dalam dunia penyiaran karya dalam Selangorkini, Fazallah sendiri menyasarkan karya yang bernafas baharu dan berjaya menembusi kotak prosa lama sebagai pilihan. “Cuba untuk tulis cerita yang tak pernah ditulis oleh penulis lain. Saya sedar akan konsep berulang dalam cereka, yang masih diambil oleh segelintir penulis.”

Fazallah menyambung pendapatnya perihal penekanan yang perlu dibuat oleh penulis mutakhir ini. “Saya berpendapat, sekiranya seseorang penulis itu menjadikan mesej sebagai aspek utama dalam merangka sesebuah cereka, maka perkara ini boleh mengekang potensi karya yang dihasilkan oleh mereka.”

Ramai penulis yang terlalu menekankan dari aspek mesej, sehingga mengabaikan kualiti cerita dan bahasa. Nasihatnya, “Jaga dan tingkatkan kualiti cerita, kemudian kuatkan kualiti bahasa, mesej boleh sampai dengan sendirinya kepada pembaca.”

Dalam kaedah dan sasaran utama untuk menyampaikan mesej kepada pembaca, penulis dan penyair Mosyuki menyebut, kepentingan menulis adalah untuk diri sendiri. “Kebanyakan karya yang saya terbitkan ditulis dengan rasa bebas daripada tanggapan awam kerana saya menulis dengan perasaan itu ialah karya peribadi.”

Menurut Mosyuki, sebelum menulis atau berkarya, seseorang itu perlu banyak membaca. Hal ini demikian kerana, menulis ini seperti memasak. Tanpa pengalaman dengan resipi dan bahan dalam masakan, pastinya kita tidak dapat memasak dengan baik.

Selain itu, Mosyuki juga mengambil pendekatan bahawa menulis itu haruslah menepati kerelevanan pada satu-satu era. Beliau sering membaca karya mutakhir untuk kekal maklum dengan arus sastera terkini. “Menulis itu merupakan pekerjaan yang mungkin memakan masa satu hari, satu jam atau satu minit, tetapi untuk membesarkan serta menjaga satu-satu karya, mungkin memerlukan seumur hidup penulis itu.”

Menyambung persoalan menulis untuk diri sendiri daripada Mosyuki, Wani Ardy, penyair dan penulis memberikan pendapatnya. “Kita sebagai penulis mula menulis untuk diri sendiri, dengan tulisan yang syok sendiri.”

Tambahnya lagi, “corak penulisan seseorang itu akan berubah dari semasa ke semasa. Bagi mereka yang sudah menerbitkan karya masing-masing pun, mereka masih melalui tahap menulis “syok sendiri” sehinggalah sampai pada satu tahap, penulis perlu mempertimbangkan beberapa aspek dalam penulisan mereka, di samping mengekalkan rasa jujur dan ikhlas dalam menghasilkan satu-satu karya.”

Wany Ardy pernah mengisi ruangan “Borak Orang Muda” dalam majalah Tunas Cipta. (Sumber foto: Google)

“Saya menulis untuk mencapai pelbagai perkara dan rasa, tapi tidak untuk menjadi yang terbaik mahupun jadi yang ‘betul’,” ujar Wani lagi.

Penyair itu menyimpulkan yang kedua-duanya, menulis untuk diri sendiri dan untuk orang awam ialah norma penulis dalam berkarya.

Nadia Khan pula menambah pandangan, perihal posisinya sebagai penulis dalam kalangan karyawan tempatan. Nadia sedar perbezaan yang dibawa, iaitu sastera prosa, sebagai novelis dan cerpenis, dan dunia perfileman sebagai penulis skrip dan telewara.

Apabila Hafiz Latiff mengajukan soalan, adakah minat yang ada dalam bidang filem dan televisyen membantu Nadia untuk menulis prosa? Jawabnya ringkas, “Ya, sangat membantu beliau dalam menghasilkan penulisan prosa.”

Kongsinya lagi, “Itu pun kerana saya tidak meletakkan had dan sempadan dalam bahan yang saya mahu belajar. Saya percaya yang kita tak perlu meletakkan batas tersebut kerana banyak yang kita boleh belajar melalui lirik lagu, skrip, puisi dan banyak lagi.”

Memang ada perbezaan yang besar antara medium filem dengan prosa. Beliau menjadikan itu sebagai peluang untuk menambah nilai diri, bukan batu halangan. Jurang yang tidak kecil dalam kedua-dua medium itu juga memberikan peluang untuk Nadia menulis prosa yang bernafas segar.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.