Oleh Orked Una
14 Julai 2021, 11:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pada 12 Julai, Perpustakaan Negara dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia menganjurkan Program Negara Membaca Siri 1: Pencinta Buku. Program ini disiarkan secara langsung menerusi platform Youtube PNM TV Channel, pada pukul 2.30 petang.

Program Pencinta Buku diadakan bagi memberikan ruang dan platform kepada pencinta buku dalam kalangan penulis supaya mereka dapat berkongsi bahan bacaan dengan masyarakat umum.

Sesi pertama ini menampilkan Hafiz Latiff (Presiden Persatuan Booktube Malaysia) sebagai moderator. Ahli panel pula ialah Ain Maisarah (penulis dan pengarah Blink Book Sdn. Bhd.) dan Ahmad Abdul (penulis dan pengarah operasi Fufu Terbit).

Menurut Ain Maisarah, sewaktu dia kecil teknologi masih belum berkembang pesat seperti hari ini. Tiada komputer dan telefon bimbit. Maka itu, membaca menjadi eskapisme pada masa itu. Dengan aktiviti membaca inilah membantu dirinya menulis dengan lancar dan menjadikan penulisan sebagai karier sehingga berjaya menghasilkan 183 buah novel.

Selain itu, Ain Maisarah turut berkongsi tip penulisan. Antaranya, mulakan dengan rangka cerita bagi memandu penulis mengelak daripada masalah rintangan pengarang.

Sumber: Google

Bagi Ahmad Abdul, menjadi pengawas perpustakaan merupakan jalan supaya berada dalam lingkungan buku. Aktiviti membacanya diteruskan dengan konsisten sehingga dewasa. Melalui pembacaan dan juga eksperimen gaya penulisan, Ahmad Abdul mencoret travelog novel dengan menghasilkan beberapa siri.

  1. Sepetang Di Busan
  2.  Sepetang di Tokyo
  3.  Sepetang di Jakarta
  4. Sepetang di Haeundae
  5. Sepetang di Hanoi.

Buku-buku ini boleh didapati menerusi Shopee fufuterbit.

Bagi persoalan adakah remaja tidak membaca? Ain Maisarah menyanggah konotasi ini kerana baginya tidak tepat. Melalui lawatan beliau ke sekolah, sambutan yang diterima adalah di luar jangkaan. Maka katanya, penting bagi para penulis menghasilkan buku dengan kandungan menarik untuk pelajar.

Pembacaan pelajar semasa pandemik dapat diteruskan melalui inisiatif Ain Maisarah yang memperkenalkan Rak Maya Sekolah. Pelbagai jenis koleksi e-buku dan e-komik yang ditawarkan melalui program tersebut. Istimewa buat penonton siri ini, Ain Maisarah menghadiahi satu bab bacaan percuma daripada buku Impiana di https://impianafree.rakmaya.com.

Pendapat Ain Maisarah itu disokong oleh Hafiz Latiff. Katanya, “Sudah sampai masanya untuk menghapuskan pendapat bahawa rakyat tidak membaca dan menyalahkan pembaca. Ini kerana, budaya membaca sebenarnya berkembang dengan progresif di media sosial dengan kehadiran BookTuber, BookStagram dan BookTok yang fokus berkongsi buku pilihan mereka.

Ahmad Abdul pula menyarankan supaya pembacaan selepas alam persekolahan diteruskan dan meluaskan bahan bacaan. Dengan ini, pembaca akan cakna dengan isu semasa dan perkara terkini. Ahmad Abdul menekankan, “Membaca buku perlu dilakukan setiap hari walaupun sehelai muka surat.”

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.