Oleh Mimi Musa
13 Julai 2021, 16:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

“Budaya membaca tak pernah luntur, hanya bagaimanakah kita ingin membudayakannya. Pemain industri termasuk penerbit dan pempengaruh memainkan peranan penting untuk menarik minat pembaca supaya membaca,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Galeri Ilmu Sdn. Bhd., Mohd Yusri Mohd Yusof dalam forum “Ayuh Budayakan Membaca.”

Mohd Yusri Mohd Yusof.

Forum tersebut dianjurkan oleh Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) cawangan Shah Alam sebagai penutup kempen Bibliophile Assemble.  Kempen ini dijalankan secara dalam talian dan terbuka kepada semua peringkat umur. Tiga program berlangsung sepanjang kempen ini iaitu Pertandingan Bacathon, Resensi Buku dan Forum “Ayuh Budayakan Membaca.”

Sejajar dengan misinya, PEMBINA ingin membudayakan kesarjanaan dan intelektual dalam kalangan mahasiswa. Kempen ini merupakan produk daripada Gagasan Intelektual Mahasiswa yang membawakan objektif untuk menjadikan mahasiswa sebagai agen intelektual masyarakat melalui pembacaan.

Kata Arifah Najiyah Mohd Yusri selaku timbalan pengarah program ini, “Kami mengadakan program ini dengan harapan supaya mahasiswa terus membudayakan amalan membaca dalam kehidupan seharian. Melalui pembacaan dan peningkatan ilmu ini, mahasiswa dapat menyedarkan lebih banyak orang di luar sana tentang ilmu yang berguna dan mempersembahkan diri sebagai agen intelektual masyarakat.”

Iman Danial Hakim.

Antara perkara menarik yang dibincangkan dalam forum ini ialah pemilihan bahan bacaan sama ada fiksyen atau bukan fiksyen. Kepentingan bahan bacaan fiksyen tidak dapat dinafikan. Iman Danial Hakim, penulis dan pempengaruh buku di media sosial berkata, “Fiksyen mengajar jiwa supaya lebih empati apabila kita membaca dan melihat melalui perspektif orang atau hidupan lain. Contohnya buku tentang haiwan yang kehilangan habitat. Kita belajar untuk menghargai alam sekitar.”

Tambah Iman lagi, “Bukan fiksyen pula sedikit kering, kurang lonjakan emosi, tetapi bermain dengan angka, logik dan pemikiran. Buku bukan fiksyen mengasah akal pemikiran kita. Saya rasa, kita perlu seimbangkan bahan bacaan supaya seimbang jiwa dan akal. Bacalah fiksyen supaya jiwa kita tidak mati, dan bacalah bukan fiksyen supaya akal kita tidak mati.”

Forum ini ditutup dengan pengumuman pemenang pertandingan Bacathon dan Resensi Buku. Dengan berakhirnya forum tersebut, maka berakhirlah kempen Bibliophile Assemble yang dijalankan oleh PEMBINA Shah Alam.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.