Oleh Mimi Musa
11 Julai 2021, 09:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

“Impian saya, mahu melihat buku terlaris di kedai buku diungguli oleh buku pelbagai genre dan tidak terhad kepada genre cinta sahaja. Sebagaimana drama kita berevolusi, penulisan juga perlu berkembang secara beransur-ansur.” Helmi Effendy berkata demikian dalam satu ruang bicara di Twitter Space.

Sambungnya lagi, “Jika kita hendak merevolusikan drama di kaca televisyen, maka karya seperti novel kita juga perlu mengalami perubahan yang sama.”

Mahakarya merupakan satu imprin baharu daripada syarikat penerbitan Patriots Publishing yang membuka satu segmen, iaitu menampilkan karya fiksyen. Sebelum ini Patriots Publishing dikenali sebagai rumah penerbitan yang menerbitkan buku bukan fiksyen seperti sejarah, geopolitik dan sains.

Sepertimana buku bukan fiksyen yang diterima baik dalam kalangan masyarakat, maka Mahakarya juga diharapkan mendapat sambutan yang baik. Kata Syazrul Aqram, CEO Patriots Publishing, “Kami mahu bawa Mahakarya ke peringkat global dengan membawa buku luar ke negara kita dan sebaliknya. Kami sudah pun mendapatkan karya pertama yang diterjemahkan daripada bahasa Korea, iaitu The Insect.”

Untuk rekod, buku berunsur geopolitik penulisan Ayman Rasydan Wong bertajuk Dunia Tanpa Tembok juga telah diterjemahkan dalam bahasa Inggeris dan Korea untuk pasaran luar negara yang lebih meluas.

Hingga kini, ada empat buah novel yang diterbitkan di bawah imprin Mahakarya, iaitu The Arrival (Naim Tamjdis), Dirgahayu (Helmi Effendy), Puteri Bunian Bulan (Aliff Mustafa) dan Psikopat Nirwajah (Osman Deen). Selain itu, Mahakarya bakal menerbitkan juga karya daripada penulis baharu seperti Husna Rosli, Awan Wafdan dan Ilham Mazlan.

Sumber: Google

“Kami telah menerbitkan karya mereka secara berkala dalam laman FB Mahakarya dan sambutan yang diberikan amat baik. Ada karya genre seram, cinta dan fantasi. Setiap genre ini mempunyai peminat dan pengikut yang tersendiri. Jadi, masih ada ruang besar sebenarnya untuk Mahakarya berkembang,” tambah Helmi.

Ketua editor Mahakarya, Farrah Izzlorna mengatakan bahawa pihak editorial Mahakarya membuka ruang kepada penulis, terutama penulis baharu yang mempunyai manuskrip dalam genre yang jarang-jarang dipilih penerbit lain seperti fantasi.

Sumber: Google

“Mahakarya cuba melawan arus pasaran semasa dan arus perdana. Kebiasaannya, genre fantasi dipenuhi karya barat seperti Harry Potter dan The Lord of the Ring. Penulis tempatan yang biasa kita dengar seperti Ahmad Patria dan Ramli Awang Mursyid. Tiada alternatif baharu. Jadi, Mahakarya mahu isi kekosongan ini,” kata Aliff Mustafa, ketua pereka letak di Mahakarya. Beliau juga merupakan penulis buku terlaris, Puteri Bunian Bulan.

Sesi Reruang Twitter (Twitter Space) yang bertajuk, Mahakarya: Proses Menjadi Penulis dan Buku itu berlangsung kira-kira dua jam.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.