Oleh Orked Una
11 Julai 2021, 11:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Getir pandemik berpanjangan menghimpit keadaan ekonomi dan memberikan impak kepada kesejahteraan mental dan fizikal seseorang. Oleh sebabkan itu, program kesedaran kesihatan mental hebat dipergiatkan dan diketengahkan dengan memanfaatkan pelbagai platform media sosial. Kebanyakan program menampilkan barisan ahli panel dalam kalangan pakar psikiatri dan pejuang pesakit mental.

Reruang “#SEMBANGPIS: Berani Sebarkan Kesedaran” yang dihoskan oleh Hafiz Latiff pada 9 Julai, pukul 9.39 malam melalui Twitter Spaces membawa kelainan dalam menyuburkan kesedaran masyarakat tentang kesihatan mental dari sudut pandang penjaga pejuang kesihatan mental.

Ahli panel yang diundang ialah Husna Adnan, usahawan buku yang mempunyai pengalaman menguruskan suami yang menghidap kebimbangan melampau (anxiety disorder) dan panik melampau (panic disorder).

Topik sembang ini tercetus daripada catatan pengalaman layanan yang diterima oleh Husna Adnan sebagai penjaga yang membawa suaminya ke PWTC. Kata beliau, “Ketika menemani suami untuk menerima suntikan dos pertama vaksin, ada banyak halangan walaupun membawa buku biru (buku janji temu psikiatri).”

Jelasnya, beliau terpaksa memberikan penjelasan kepada tiga orang petugas pada hari itu. Berlakunya situasi panik, apabila suaminya  disuruh naik tanpa peneman. Apabila dibenarkan menemani suaminya, Husna berterusan menerima cabaran oleh sebab prosedur yang ditetapkan.

Melalui insiden tersebut, reruang ini dimanfaatkan bagi berkongsi perspektif penjaga dan kepentingan mereka dalam membantu pesakit.

Sejak tahun 2011, Husna sentiasa menemani suaminya yang tidak boleh memandu seorang diri, tidak sukakan kawasan sesak, takut untuk pergi menunaikan solat Jumaat dan tidak boleh ditinggalkan bersendirian.

Pada tahun 2016, setelah pasangan suami isteri ini sedar perilaku yang dilakukan bukan sesuatu yang normal, mereka pergi mendapatkan pemeriksaan dan rawatan. Suaminya telah disahkan menghidapi penyakit kebimbangan melampau dan panik melampau.

Menjadi penjaga dan bertindak sebagai sistem sokongan kuat bagi ahli keluarga atau rakan yang mempunyai penyakit mental bukanlah sesuatu yang mudah. Mereka perlu melepasi fasa menerima dan memahami keadaan pesakit. Seterusnya, memimpin pesakit dalam proses penyembuhan mereka.

Penjaga dan sistem sokongan kuat membantu pesakit untuk berfungsi dengan baik. Kepentingan sokongan ini dipersetujui oleh pendengar yang merupakan pejuang kecelaruan episod kemurungan major. Beliau berkata, “Sokongan keluarga sangat penting. Sokongan kuat membolehkan pesakit bertindak secara rasional.”

Selain memberikan sokongan penuh kepada suaminya dalam meneruskan kerja kreatif sebagai penulis dan pelukis komik, Husna Adnan bertindak membantu memecahkan ketakutan yang dihadapi oleh suaminya setelah menonton rancangan dokumentari mengenai kebimbangan melampau di saluran TV2.

Antara kaedah yang disarankan ialah harus berhadapan dengan ketakutan. Maka itu, dia harus mencari strategi daya tindak balas yang sesuai dengan keadaan suaminya.

Kini, keadaan suaminya bertambah baik dan mampu memandu sendiri. Kejayaan ini memberikan inspirasi kepada pendengar bahawa penyakit mental ini boleh dikawal dan pesakit berupaya sembuh dan berfungsi dengan normal.

Norsa’adah Ahmad, pengasas Dua Penulis yang telah menerbitkan buku Projek Orkid: Masih Ada yang Sayang yang membawakan kisah pejuang kesihatan mental, turut menyertai program ini.

Beliau mengucapkan tahniah kepada penganjur kerana membuka ruang yang sangat bermanfaat ini dan memuji keberanian pendengar menceritakan pengalaman dan diagnosis mereka. Katanya lagi, “Apabila pesakit berani berkongsi, keadaan mereka akan bertambah baik.”

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.