9 Julai 2021, 17:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Komuniti buku tanah air yang menggunakan aplikasi Twitter dalam kehidupan media sosial mereka pasti akan kenal dengan entiti penerbitan segar dan baharu, iaitu JIWA. Baru-baru ini JIWA ada mengadakan sesi perkongsian bersama-sama masyarakat, ruang untuk berbincang dan bercerita dengan tajuk “Quarter-Life Crisis”.

Iman Danial Hakim (bibliofil dan duta JIWA) bersama-sama Hafizul Faiz merupakan pembicara yang mengendalikan sesi yang berlangsung pada pukul 9.30 malam, 8 Julai 2021. Turut hadir sebagai pendengar secara maya ialah Husna Rosli, Syahira Hazani dan figura penerbit buku Kiridaren Jayakumar yang turut bersama-sama memberi pandangan dalam topik tersebut.

Persoalan awal yang dibuka oleh pengelola perbincangan, pastilah apakah itu yang dimaksudkan dengan Quarter-Life Crisis. Midlife crisis memberi makna rasa kemelut dalam diri yang sudah mencapai umur separuh dekad. Hafizul Faiz menyatakan, quarter-life cirisis ialah perasaan kemelut dalam diri bagi mereka yang secara umumnya, sudah di ambang akhir pembelajaran peringkat tinggi, atau mereka yang habis belajar, dan dalam alam untuk menginjak ke dunia pekerjaan. “Saya anggap, mereka yang selalu alami persoalan, ‘Sampai bila aku nak kekal begini?’ adalah mereka yang kita boleh panggil berada dalam quarter – life crisis.” Ujar Hafizul.

Antara topik perbincangan ialah apakah pandangan belia dalam perihal zon selesa. Husna Rosli memegang prinsip bahawa menjadi manusia ini memerlukan perkembangan. “Setiap manusia di sini ada tempat (masing-masing), manusia ini dalam hidup memerlukan perkembangan,” ujar beliau.  Husna merupakan antara figura dunia buku yang keluar dari zon selesa dengan kerjaya sebagai booktuber, pempengaruh yang banyak menghasilkan kandungan video berkenaan buku di Youtube.

Hafizul pula mengulas bahawa zon selesa ini ialah  apabila kamu berada pada satu tahap keselesaan untuk tidak memberi apa-apa. Namun zon selesa ini ada yang memberi pandangan sebagai satu ruang yang tidak patut diketepikan, perlu cuba untuk terima dan raikan.  “Agak bahaya untuk seseorang itu berasa selesa kerana tidak melakukan apa-apa dan memberi apa-apa. Itulah satu budaya yang menghilangkan fungsi kita sebagai manusia,” tambah Hafizul.

Ada juga mereka yang tidak berada dalam kegiatan aktif, tetapi masih dalam status memerhati dan menganalisis. Golongan ini tidak menjadikan mereka berada dalam tahap selesa yang berbahaya kerana kegiatan pemerhatian itu mampu meningkatkan produktiviti secara tidak sedar.

Perbincangan berbentuk curhat (curahan hati) itu membuka lagi ruang untuk pendengar sendiri berbicara, bercerita dan memberi pandangan tentang kemelut kehidupan mereka pada usia belia. Curhat anjuran JIWA ini diadakan agar masyarakat dapat berusaha untuk melawan perasaan takut untuk meluahkan perasaan berkaitan kehidupan mereka, sekali gus melahirkan generasi yang menghargai diri atau dipanggil ‘swacinta’.

Sesi curhat ini diadakan secara dalam talian oleh JIWA, melalui Twitter Space @inibukujiwa. JIWA merupakan badan penerbitan baharu yang akan memulakan penerbitan buku baharu mereka pada bulan Julai ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.