8 Julai 2021, 08:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Genre puisi bukanlah asing dalam dunia penulisan kreatif untuk menzahirkan perasaan. Sedih, marah, gembira, malah kekecewaan terhadap individu atau institusi juga boleh disalurkan melalui penghasilan puisi. Pada suatu ketika dahulu, puisi turut berfungsi sebagai penglipur lara dalam kalangan masyarakat.

Namun demikian, tidak semua individu dilahirkan berbakat untuk menulis, apatah lagi untuk menghasilkan karya yang mampu menyentuh emosi di sebalik ayat-ayat indah yang membawa pelbagai makna tersirat. Selain daripada membiasakan diri dengan menulis sebagai satu permulaan dalam menghasilkan puisi, terdapat juga langkah-langkah lain yang boleh dijadikan rujukan dalam usaha menghasilkan karya yang baik.

Nursyafiqah Roslan, antara penulis muda yang prolifik dalam berkarya.

Dalam satu hantaran dalam laman sosial Facebook Nursyafiqah Roslan, penulis buku Doa dari Neraka ini berkongsi panduan penulisan puisi untuk para pemula yang baru berjinak-jinak dalam menulis puisi (sajak).

  1. Mengurangkan unsur lewah; penggunaan ayat yang panjang dan berjela. Pastikan ayat yang digunakan padat dan ringkas tanpa mengubah makna asal.
  2. Elak pengulangan perkataan dalam sajak yang ditulis. Cuba pelbagaikan istilah atau cari perkataan yang membawa makna yang sama.
  3. Mengeja sesuatu perkataan dengan penuh dan patuhi tatabahasa bahasa Melayu yang betul. Perkara ini penting untuk memastikan penulisan lebih tersusun kemas dan mesej sajak dapat difahami dengan jelas oleh pembaca.
  4. Elak menggunakan frasa atau kata-kata yang klise; iaitu ayat yang sudah kerap kali digunakan orang lain. Pelbagaikan kosa kata dengan mencari perkataan yang jarang-jarang digunakan namun masih membawa makna yang sama.
  5. Banyakkan membaca buku puisi dan menghindarkan penulisan yang dipaksa-paksa. Jadikan buku puisi di pasaran sebagai rujukan sebelum menulis. Jangan paksa diri untuk menulis, sebaliknya cuba semula dalam suasana waktu yang dirasakan tepat, mengikut “angin” atau “suasana” dan mampu menulis dengan hati yang jujur. Jadikan sajak sebagai tapak untuk penulis bercerita atau meluahkan sesuatu.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.