28 Jun 2021, 11:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – “Penulisan merupakan proses meraikan apa saja bentuk dialog dan fikiran. Tak perlu nafikan lintasan fikiran kita kerana kerja penulisan ialah memerangi pemikiran,” ungkap Hafizul Faiz, penghasil buku Poskad-poskad Penghujung Semester.

Dalam satu perkongsian proses penghasilan puisi dan catatan di reruang Twitter, rata-rata pengkarya bersetuju dengan idea menulis untuk merakam detik kehidupan. Sesi sembang santai yang diadakan pada 27 Jun, pukul 9.30 malam itu, dikelola oleh Iman Danial Hakim.

Ahli panel jemputan ialah penulis buku terbitan JIWA seperti ZF Zamir, Wafa Awla dan Hafizul Faiz. Selain itu, turut menghadirkan tiga orang pempengaruh buku (bookfluencer) yang mengulas isi buku pengkarya tersebut.

Sumber: Penulis

Sesi tersebut disertai hampir 130 orang pendengar yang menantikan ulasan tiga buah buku; Perempuan dari Masa Lalu oleh Wafa Awla, Poskad-poskad Penghujung Semester karya Hafizul Faiz, dan Untuk Hujan dan Angin yang Memeluk Tiap Malam yang Panjang tulisan ZF Zamir.

Bermula dengan karya Wafa Awla, pengulas yang lebih senang dikenali sebagai Tulangkata dengan jujur menyatakan, karya Wafa seolah-olah melihat hidup seperti realiti yang penuh dualiti.

“Saya merasakan, penulisan Wafa ini sangat peribadi, seperti monolog dalam Syurga Rak Perpustakaan. Saya tafsirkan, penulis cuba penuhi persoalan dan mencari buku bagi mendapatkan jawapan kepada kehidupan yang beri rasa sunyi yang tebal dan di situ kita bertemu jawapan yang tak terjangka,” ulas Tulangkata.

Bagi pemengaruh buku, Farra Diana yang juga pelajar jurusan perubatan di Indonesia, nukilan ZF Zamir begitu menyentuh perasaan dan jiwa.

“Membaca buku ini seolah-olah membaca diari kerana penulisan beliau sangat menggambarkan perasaan saya. Puisi muka pertama saja sudah cukup tarik perhatian saya kerana dengan hanya dua rangkap, puisi itu sangat menepati isi hati yang tak dapat saya luahkan. Bukan senang nak ungkapkan apa yang kita rasa dalam hati, tapi Zamir berjaya ekspresikannya,” kongsi Farra.

Apabila ditanya Wafa Awla mengenai perjalanan menyiapkan puisi dan catatan, beliau menjelaskan, segala penulisan dalam buku Perempuan dari Masa Lalu ialah hasil emosi yang lahir sewaktu berlakunya sesuatu peristiwa dalam hidup beliau.

Berbeza dengan Hafizul Faiz, terbitnya Poskad-poskad Penghujung Semester adalah lebih kepada luahan rasa terhadap sahabat-sahabat dalam lingkungan kecil beliau.

“Apabila berada dalam lingkungan rakan yang kecil, kita rasa didengari. Saya pula suka dengan benda nostalgia yang ada nilai sentimental. Antaranya ialah poskad, kerana pemberian daripada seorang individu kepada individu lain yang bersifat sangat peribadi dan istimewa. Buku ini berbentuk anekdot, bukannya bersifat tulisan yang terus terang inti patinya. Itulah cara saya luahkan perasaan tentang individu terdekat dengan saya,” jelas beliau.

ZF Zamir pula apabila diajukan soalan mengenai waktu yang sesuai untuk mula menulis, beliau berkata bahawa secara relatif adalah antara pukul 12 malam hingga empat pagi. Namun, itu adalah masa lalu sewaktu tidak terikat dengan jadual kerja yang memerlukannya bangun pada awal pagi.

“Masa terbaik untuk menulis adalah sewaktu kita menghadapi fasa hidup. Kita berjaya atau gagal atau baru putus cinta, dikecewakan atau ditipu. Fasa tersebut membantu untuk kumpul perkataan yang sesuai sebab diri sedang bergolak. Mungkin boleh menulis sewaktu tenang, tetapi saya lebih cenderung menulis apabila diri dalam keadaan bergolak. Untuk merakam fasa tersebut caranya adalah dengan menulis,” ujar ZF Zamir.

Pengakhiran sesi disudahi dengan persoalan mengenai pandangan para pengkarya terhadap nukilan lama mereka, jika terdapat perubahan perspektif tentang apa yang telah dihasilkan.

Persoalan itu mendapat persetujuan bersama-sama para pengkarya bahawa manusia perlu melenyapkan rasa penyesalan terhadap hal yang telah berlaku dalam hidup dan tidak membiarkan pemikiran dibelenggu hal yang telah berlalu.

“Tak perlu bermusuh dan terganggu dengan masa lalu. Biar keluar dan bebas tak dijajah. Kita tak mungkin menulis dengan cara itu lagi jadi tak perlu menyesal. Kita sekarang dalam realiti yang lain. Masa lalu untuk diingat, tapi bukan untuk tinggal lama di situ. Maka itu, ke bumikan rasa penyesalan kita dengan kata-kata yang dicatat,” akhiri Hafizul Faiz.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi