23 Jun 2021, 20:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Baru-baru ini, media tempatan ada memaparkan situasi penerbit buku berhadapan dengan longgokan buku bercetak yang tidak terjual ekoran penularan COVID-19. Keadaan jualan buku fizikal bertambah parah apabila kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), yang menyebabkan pergerakan merentas negeri dan daerah, serta aktiviti bersemuka untuk mempromosikan dan menjual buku tidak dapat dilakukan secara lazim.

Tajuk berita muka hadapan itu mendapat reaksi yang pelbagai daripada pencinta buku sehinggalah penerbit besar, penerbit kecil, termasuklah pihak yang melakukan swaterbit. Melalui Facebook dan Twitter, pemain aktif dalam industri buku, Hasri Hasan melontarkan beberapa pandangan dan cadangan sebagai reaksi terhadap berita tersebut. Beliau mengemukakan dua persoalan utama, iaitu betulkah industri buku makin tenat kerana terkesan dengan pandemik COVID-19 atau sebenarnya industri buku masih bergelut dengan penerbitan konvensional? Soalan itu mendapat komen daripada pengikut media sosial Hasri, yang antaranya menyuarakan pandangan tentang buku digital dan pembacaan secara digital. Memang sudah ada banyak versi buku digital seperti e-buku dalam bentuk EPUB, buku video, buku audio dan flipbook digital. Namun demikian, rumusannya sejumlah pembaca masih inginkan buku bercetak. Hal ini ditamsilkan seperti menjual durian secara dalam talian yang jualannya juga kurang memberangsangkan kerana penggemar durian masih mahu memegang dan membelek-belek raja buah itu sebelum membelinya. Begitulah halnya dengan sebahagian pembaca tegar yang masih setia mahu memegang fizikal sesebuah buku dan menyelak halaman demi halaman buku tersebut semasa membaca.

Atas rasa tanggungjawab untuk membantu pemain industri buku berhadapan dengan pandemik COVID-10 dan PKP yang mengehendaki semua orang mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP), Hasri membariskan beberapa strategi untuk mendepani kemelut yang membingungkan penerbit buku. Antara strategi yang dikongsikan oleh Hasri termasuklah membuat kajian pemasaran sebelum menerbitkan buku dan membuat tinjauan buku jenis apa yang diminati oleh pembaca mengikut kelompoknya. Harus diingat, ada genre yang sudah tepu dan ada genre yang terlalu kecil golongan pembacanya. Yang penting, penerbit harus peka dengan trend pembacaan masyarakat.

Bagi mengatasi lambakan buku fizikal yang tidak terjual, disarankan penerbit melaksanakan strategi cetak ikut permintaan, terutama bagi judul yang bersifat niche. Kaedah cetak ikut permintaan dilihat relevan kerana kos percetakan digital pada masa ini semakin berpatutan. Dengan demikian, penerbit tidak terbeban dengan simpanan stok. Penerbit juga perlu membuat pertimbangan yang bijak sama ada mahu menjaga kos cetak atau terpaksa membayar sewa gudang penyimpanan dan melihat lambakan buku fizikal yang memenuhi ruang stor.

Sebenarnya dalam situasi pergerakan yang terbatas, perkumpulan tidak dibenarkan dan apa-apa aktiviti harus dilakukan melalui ruang maya, maka saranan yang dilihat paling bijak ialah memikirkan strategi digital yang berkesan dan memanfaatkan sepenuhnya peluang dan ruang yang tidak terhad di alam maya. Sememangnya, bukan buku sahaja, malah apa-apa pun barangan pada masa ini perlu dipromosikan dan dijual melalui platform digital apabila seluruh dunia dilanda wabak yang merebak melalui sentuhan fizikal itu.

Berkaitan dengan berita dalam akhbar Kosmo yang bertajuk “Industri Buku Semakin Tenat”, ternyata generasi muda, khususnya yang terlibat dengan industri buku termasuklah pencinta buku dilihat tidak terkesan dengan nada berita yang negatif itu. Generasi muda yang sememangnya bertindak pantas menyahut transformasi digital dan bergerak sealiran dengan arus digital dilihat aktif menjual buku secara maya. Selain itu, buku yang diterbitkan berjaya menemui pembaca sasaran, seterusnya menggerakkan hati pembaca untuk membeli buku tersebut tanpa perlu bersemuka dengan si penjual buku. Perkara ini terbukti apabila beberapa penerbit dilihat berjaya meraih jualan buku yang tinggi melalui usaha yang dilakukan di ruang media sosial seperti Facebook, Twitter dan Youtube.

Di laman Facebook misalnya, terdapat banyak akaun atau platform yang dibina khusus untuk merancakkan dan menghidupkan hal berkaitan dengan buku, terutama dalam hal mempromosikan dan menjual buku yang baru terbit, mengulas kandungan buku, merekomenkan buku yang baik mengikut genre atau bidang, dan membantu peminat buku untuk mencari dan mendapatkan buku yang mereka inginkan. Hal yang amat mengagumkan ialah platform yang bergerak aktif di Facebook dan ditunjangi oleh generasi muda itu mempunyai jumlah pengikut yang begitu banyak. Kumpulan yang kelihatan aktif dan terkenal ialah “Buku Apa Terbit Hari Ini” yang mempunyai 2.6 juta pengikut, “Pencinta Buku” dengan tiga juta pengikut, “Kongsi Cerita Buku” dengan 2.7 juta pengikut dan “Hebahan Aktiviti Penulisan, Sastera dan Perbukuan” yang mengumpulkan pengikut paling banyak berjumlah 16 juta. Jadi, platform dan kumpulan yang boleh disertai secara percuma ini seharusnya dimanfaatkan oleh penerbit buku atau penjual buku agar dapat keluar keluar daripada kemelut buku tidak laku, buku tidak terjual dan buku tidak sampai ke tangan pembaca, dan buku yang terbit tidak diketahui oleh pembaca yang menjadi sasaran buku tersebut. Yang pasti, setiap hantaran berkaitan dengan buku yang dibuat menggunakan akaun Facebook tersebut boleh dikongsi oleh sesiapa sahaja menggunakan akaun Facebook masing-masing. Perkongsian tanpa batas dan tertayang berulang kali pada setiap masa di laman media sosial itu pasti menyuntik naluri pencinta dan penggemar buku untuk membeli naskhah yang berlegar-legar di laman maya itu.

Sebagaimana setiap orang memiliki akaun Facebook, Instagram dan Twitter, begitu juga setiap penerbit pasti ada akaun media sosial masing-masing, termasuklah memiliki kedai buku maya yang boleh dikunjungi pada bila-bila masa. Jadi, manfaatkan sepenuhnya untuk menjual buku sama ada melalui hantaran gambar buku berserta catatan ringkas, tetapi menarik tentang buku atau mengadakan siaran langsung khusus untuk menjual buku. Strategi inilah yang digunakan oleh Garasi TV yang ternyata berjaya menjual buku dalam jumlah yang melebihi kaedah jualan biasa, sama ada melalui pesta buku atau jualan promosi buku di kedai buku milik penerbit.

Pada masa ini, penggunaan Twitter dilihat mengatasi medium media sosial yang lain kerana apa-apa ciapan yang dibuat akan segera diketahui dan disahut dengan pantas oleh pengikut akaun Twitter berkenaan. Kelihatannya ada penerbit buku yang jenteranya digerakkan oleh tenaga muda begitu aktif melakukan ciapan dan mencipta rajutan tentang sesebuah buku sehingga mampu meraih ulang ciap dan respons berjumlah satu juta lebih, dan akhirnya berjaya menjual buku dengan kos yang sifar. Antara penerbit buku yang rancak menciapkan buku terbitan mereka ialah Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE), The Bibliophile, Kata-Pilar, Fixi, PTS Media Group, Jejak Tarbiah, Ilham Books dan beberapa pemilik akaun Twitter yang menjadi pencinta buku seperti MC Nadia atau @nadiasani. MC Nadia yang tanpa jemu berkongsi ulasan buku yang dibacanya setiap hari melalui akaun Twitter meluahkan rasa terharu apabila orang membeli buku kerana terpengaruh dengan ulasan buku yang diciapkannya dalam media sosial itu. Husna Adnan, seorang booktuber dan writerpreneur muda dalam industri penerbitan terpaksa mencari strategi baharu untuk menjual buku apabila rakyat harus akur dengan PKP. Apabila ditanya, “Bagaimana jualan buku Skuad Misi ketika ini?” Jawab Husna dengan nada positif, “Alhamdulillah. Boleh dikatakan hampir setiap hari ada tempahan buku.” Stareteginya ialah menjual buku buku di alam maya dengan cara yang kreatif dan tanpa jemu.

Kata-Pilar sendiri mengakui berjaya meraih angka jualan buku yang tinggi melalui platform digital dalam responsnya terhadap berita dalam akhbar Kosmo kerana gambar dalam berita tersebut diketahui salah seorang pemilik Kata-Pilar yang berhadapan longgokan buku fizikal. Begitu juga dengan penerbit  IBDE yang terpaksa melakukan cetak ulang buku Muhammad: Riwayat Hidup Berdasarkan Sumber Terawal (terjemahan daripada tulisan Martin Lings) ekoran pemintaan yang di luar jangka daripada pembaca. Hal yang sama berlaku apabila masyarakat mencari semula beberapa buku berkaitan Palestin, tokoh pemimpin Palestin, Masjid al-Aqsa dan Pejuang HAMAS apabila konflik Israel-Palestin tercetus semula pada Mei yang lalu. Penerbit yang memiliki stok buku tersebut pun mengambil peluang menjual buku sementara isu Israel-Palestin masih panas. Maka, berlegarlah buku berkaitan topik tersebut di laman media sosial dan ada judul yang habis terjual walaupun sebelum ini buku tersebut hanya menunggu pembelian di rak kedai buku penerbit. Senario ini jelas menunjukkan betapa berkesannya menjual buku secara maya dek kuasa tular, kongsi, ulang ciap dan rajutan yang menjadi nadi utama media sosial. Jadi, benarkah industri buku semakin tenat dan buku tidak terjual tetapi hanya terperuk di ruang stor penerbit? Jualan buku di alam maya menafikan kemelut tersebut malah mengajak semua pemain yang terlibat dengan buku memanfaatkan platform yang percuma tetapi sangat berkuasa pada zaman ini. Seperti kata Hasri yang mengakhiri tulisannya dalam Facebook bahawa apa-apa pun situasinya, sebenarnya pemain industri buku itu sendiri yang menentukan nasib mereka sendiri sekarang.

Berkaitan kemelut yang ditimbulkan dalam akhbar Kosmo itu, sudah tiba masanya penerbit, terutama penerbit baharu mengekalkan saiz yang kecil tetapi aktif menguar-uarkan penerbitan buku baharu. Menjadi penerbit besar tidak semestinya terkesamping dengan masalah dunia penerbitan sedia ada, malah ada yang kelihatan tenggelam dalam arus digital yang perlukan inisiatif berterusan dan kreativiti di luar kebiasaan. Begitu juga dengan individu atau kumpulan terbit sendiri yang dilihat sudah semakin matang. Jadi, tidak timbul anggapan penerbit mandiri dipandang sangat rendah berbanding dengan penerbit yang sudah mantap kedudukannya. Hal ini demikian kerana pada garis akhirnya, sesiapa pun boleh menerbitkan buku tetapi cabaran terbesar ialah bagaimana untuk menjayakan misi agar buku yang terbit itu sampai ke tangan pembaca.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.