27 Mei 2021, 15:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bidang penulisan kreatif perlu dimulakan sejak awal usia lagi. Mereka yang berbakat dalam bidang penulisan kreatif ini perlu diberikan bimbingan awal supaya mereka tidak terkontang-kanting dan hilang arah tuju. Atas kesedaran inilah, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Kedah telah mengadakan program Pembinaan Bakat Tunas Muda dan Tunas Remaja Zon Utara pada 23 dan 24 Mei 2021.

Bengkel selama dua hari ini dijalankan secara dalam talian dengan menggunakan aplikasi Google Meet.  Bengkel tersebut dikendalikan oleh MK Riza seorang editor dan penulis bebas yang memberikan bimbingan tentang penulisan cerpen dan Syahidatul Munirah yang menjadi penceramah bagi penulisan puisi.

Menurut Jamkhuriyati Hussain, Penolong Pengarah Pembangunan Bakat Murid Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, para pelajar dipilih berdasarkan kecenderungan dan minat mereka sama ada dalam bidang penulisan cerpen atau puisi.

“Program ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan. Seramai 1170 orang pelajar memohon namun pihak penganjur terpaksa membuat tapisan dan hanya menerima 350 pelajar saja,” kata Jamkhuriyati.

Bagi Jamkhuriyati,  program sebegini sangat bagus kerana berupaya mencungkil bakat dan pelapis baharu di peringkat negeri. Selain itu, program ini juga merupakan langkah pertama untuk mengasah bakat pelajar yang selama ini tidak mempunyai pendedahan secara langsung daripada mana-mana pihak. Beliau turut berterima kasih kepada DBP Wilayah utara yang sentiasa terkehadapan untuk melahirkan penulis pelapis.

Bengkel ini juga memberikan peluang kepada peserta untuk menghantar karya mereka bagi dinilai. Karya yang terbaik akan dipilih dan peserta tersebut akan mewakili negeri Kedah untuk menjadi peserta bagi Minggu Penulis Remaja (MPR) dan Minggu Penulis Kanak-kanak (MPKK). MPR dan MPKK merupakan platform yang bertujuan untuk membimbing bakat muda dalam bidang penulisan secara lebih terancang dan mampu menghasilkan karya yang bermutu.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.