Oleh Nimoiz T.Y.
25 Mei 2021, 11:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

 

 

Menurut Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM), istilah “jubli” bermaksud perayaan untuk memperingati ulang tahun sesuatu peristiwa. Memetik pula buku Pengetahuan Am Jilid Satu, gelaran jubli ini akan berselang-seli setiap lima tahun. Bermula dengan tahun pertama, kelima, ke-10, ke-15 dan seterusnya. Antara sambutan jubli atau ulang tahun yang terkenal ialah Jubli Perak (tahun ke-25), Jubli Mutiara (tahun ke-30), Jubli Emas (tahun ke-50) dan Jubli Intan (tahun ke-60). Untuk tahun ke-20, gelaran yang diberi ialah Jubli Tembikar. Namun, istilah Jubli Tembikar ini kurang popular dan jarang-jarang disebut, terutama diraikan oleh sesiapa pun. Mungkin juga perkataan ini tidak sedap didengar apabila meniti di bibir atau digunakan dalam penulisan. Istilah dekad pula merujuk kepada jangka masa 10 tahun. Barangkali, jangka masa 20 tahun boleh digunakan secara bersinergi dengan istilah Jubli Tembikar atau Dua Dekad.

Memasuki bulan Jun 2021, maka genaplah dua dekad majalah Tunas Cipta menjadi wahana aspirasi sastera kepada penulis muda di Malaysia. Meniti usia Jubli Tembikar, para penulis yang pernah bersama dengan Tunas Cipta seharusnya berbangga dengan pencapaian pada usia ini. Semoga Tunas Cipta terus berkekalan mencecah Jubli Emas atau satu abad akan datang. Bertemakan ‘Sastera Generasi Baharu’, majalah Tunas Cipta kekal relevan menjadi medium untuk menampung karya daripada penulis baharu.

Menelusuri jejak sejarah, majalah Tunas Cipta mula diterbitkan pada bulan Jun 2001. Nama asal yang dipilih oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ialah GEN. Barangkali, istilah ini merujuk kepada Generasi. Bertepatan dengan fungsi sastera sebagai pembentuk minda dan pemikiran generasi muda. Atau mungkin juga merujuk kepada gen yang terdiri daripada jujukan nukleotid DNA pada kromosom manusia. Istilah ini nampak lebih kepada sains dan teknologi. Tambahan pula, dunia baru sahaja memasuki alaf atau milenium baharu pada tahun 2000. Pada masa itu, angka tahun mula berubah daripada pangkal 19 kepada 20. Istilah GEN ini mungkin agak janggal, namun sesuai dengan perkembangan teknologi dan komputer yang semakin berkembang maju tatkala berada pada ambang alaf baharu.

Walau bagaimanapun, jodoh dengan nama GEN tidak bertahan lama. Akhirnya nama majalah ini diubah kepada Tunas Cipta yang lebih dominan. Dalam sistem sains biologi, “tunas” merupakan peringkat awal pertumbuhan anak benih. Maka, sangat wajarlah nama “Tunas Cipta” dipilih ibarat tunas muda penulis yang baru hendak tumbuh.

Dalam ruangan “Surat Pembaca” beberapa tahun selepas itu, ada juga cadangan supaya nama majalah Tunas Cipta diubah kepada “Dewan Tunas” atau “Dewan Cipta”. Ini supaya terdapat jenama “Dewan” dalam majalah tersebut seiring dengan nama lain terbitan DBP seperti Dewan Masyarakat, Dewan Sastera, Dewan Bahasa, Dewan Pelajar, Dewan Kosmik, Dewan Ekonomi dan Dewan Siswa. Nama “tunas” atau “cipta” dicadangkan untuk kekal, cuma menambah perkataan dewan di hadapan. Antara cadangan nama lain menggantikan Tunas Cipta ialah “Dewan Tunas dan Cipta”. Ketika itu, DBP pernah juga menerbitkan majalah Dewan Agama dan Falsafah. Pun begitu, nama Tunas Cipta masih kekal dan tidak berubah hingga kini.

Memetik laman sesawang DBP, majalah Tunas Cipta membicarakan tentang perkembangan kesusasteraan remaja dan penulis baharu tanah air. Majalah ini banyak mengetengahkan hasil karya berdasarkan kreativiti penulis baharu dan remaja dalam pelbagai genre. Menurut DBP lagi, sasaran pembaca ialah golongan remaja atau golongan muda yang berminat, malah yang terlibat dalam dunia kesusasteraan tanah air khususnya penulis remaja atau penulis baharu. Penerbitan majalah Tunas Cipta menyasarkan pelajar institut pengajian tinggi awam dan swasta, institusi  atau akademi sastera selain untuk semua lapisan masyarakat.

Sepanjang dua dekat penerbitan Tunas Cipta, terdapat banyak perubahan yang berlaku. Antaranya, Tunas Cipta pernah disisipkan sekali dengan Dewan Sastera. Namun akhirnya dipecahkan semula dengan entiti sendiri. Ada juga ura-ura supaya Tunas Cipta ditutup untuk mengecilkan skop penerbitan selain mengurangkan beban kewangan DBP. Namun mujurlah hanya sekadar khabar angin yang meniti di angin lalu.

Terdapat tiga perubahan ketara yang boleh dilihat, iaitu dari aspek persembahan fizikal, pengisian majalah dan barisan penulis muda yang bersilih ganti. Dari aspek fizikal, antara yang paling ketara ialah reka bentuk kulit, susun atur, pemilihan jenis teks, jenis kertas, paparan warna dan lain-lain. Aspek ini sangat penting untuk menarik minat pembaca menyentuh dan membelek seterusnya membeli sebagai koleksi.

Pengisian Tunas Cipta juga semakin berubah. Tidak statik dengan kandungan seperti pada awal penerbitannya dahulu. Tidak terhad kepada puisi dan cerpen semata-mata, tetapi ruangan seperti “Rencana Tunas”, “Pena Sutera”, “Sembang Buku”, “Ilham Kembara”, “Ulasan Sajak”, “Ulasan Cerpen”, “Tunas Kata”, “Borak Orang Muda” dan “Istilah Semasa” menjadi pelengkap ruangan. Perubahan kandungan ini perlu untuk menjadikan Tunas Cipta sentiasa relevan dalam arus penerbitan negara. Ruangan “Rencana Tunas” misalnya, penting untuk memperkatakan perihal fokus sastera mutakhir. Ruangan “Pena Sutera” pula dapat mengetengahkan idealisme penulis muda. Selain itu, penulis boleh memperbaiki teknik penulisan daripada pengulas yang memperkatakan karya dalam ruangan “Ulasan Sajak” dan “Ulasan Cerpen”.

Paling penting, nama penulis muda yang mengisi ruang dalam Tunas Cipta saling bergilir-ganti. Selepas nama semakin kukuh, ada penulis muda terus melebarkan sayap penulisan dalam medium baharu yang lebih meluas. Sesuai dengan nama tunas, akhirnya penulis muda yang dilahirkan oleh Tunas Cipta semakin berkembang mekar dalam arus sastera tanah air. Seterusnya, tegar membuahkan karya yang ranum untuk tatapan pembaca.

Sebelum ini, rata-rata penulis remaja atau muda hanya bergantung kepada majalah Dewan Siswa. Paling seronok apabila karya mereka tersiar dalam Dewan Siswa, kemudian karya akan diulas oleh Rahman Shaari untuk puisi dan Othman Puteh untuk cerpen. Namun, tidak semua penulis muda berpeluang melihat karyanya tersiar dalam Dewan Siswa lantaran ruangannya yang sangat terhad. Untuk cerpen misalnya, hanya dua ruang tersedia, iaitu “Cerpen Untuk Siswa” dan “Cerpen Daripada Siswa”. Tambahan pula, fokus Dewan Siswa lebih kepada akademik, bukan hanya sastera semata-mata. Ternyata, kemunculan majalah GEN disambut baik, hingga kini dengan menggunakan jenama Tunas Cipta, majalah ini semakin mendapat tempat dalam kalangan penulis muda.

Sebagai penulis muda, agak sukar untuk melihat karya tersiar dalam Dewan Sastera. Maka itu, kemunculan Tunas Cipta dilihat sebagai alternatif terbaik sebagai jalan pemula untuk seseorang penulis mengasah bakat penulisan mereka. Paling penting, penulisan ini tidak terhenti dalam Tunas Cipta sahaja. Ada penulis yang terus menyumbang penulisan untuk medium penerbitan lain selain DBP, iaitu seperti Berita Minggu, Mingguan Malaysia dan Sinar Harian.

Terdapat banyak sebab yang memungkinkan seseorang itu kekal membeli majalah umumnya dan Tunas Cipta khasnya. Antaranya ialah aspek fizikal majalah, kualiti layanan khidmat pelanggan, kualiti isi, reputasi, jenama, faktor harga, objektif majalah, promosi, isi kandungan, harga, insentif, reputasi penerbit dan banyak lagi. Tidak ada majalah yang sempurna. Sedikit sebanyak ada juga kelemahan yang boleh diperbaiki dari masa ke masa. Antara perkara yang boleh ditingkatkan ialah terus memperkenalkan majalah Tunas Cipta kepada khalayak pembaca dan calon penulis.

Setiap tahun, DBP ada menganjurkan bengkel penulisan pembinaan bakat tunas muda dan remaja di seluruh Malaysia. Mungkin setiap penceramah atau fasilitator yang dilantik oleh DBP untuk mengendalikan bengkel perlu menyelitkan slot memperkenalkan majalah Tunas Cipta selain kaedah menghantar karya. Pada masa yang sama, pihak pengurusan tertinggi DBP dan DBPNiaga terus giat mempromosikan majalah di sekolah dan masyarakat.

Terdapat banyak kelebihan menulis dalam majalah Tunas Cipta. Selain permulaan, banyak penulis terus melangkah peringkat yang lebih tinggi. Ada yang mengumpul karya yang tersiar dalam Tunas Cipta dalam kumpulan buku persendirian. Ada yang menghantarnya untuk hadiah penulisan peringkat negeri. Selain itu, ada juga yang menggunakan penulisan dalam majalah Tunas Cipta sebagai sokongan untuk kenaikan pangkat. Namun pada akhirnya, usaha penulisan ini perlulah kembali kepada titik mula sebagai medium memperkasakan sastera Melayu selain membentuk minda dan pemikiran masyarakat.

Selama tempoh 20 tahun ini, editor dan penolong editor majalah Tunas Cipta saling bertukar-ganti. Begitu juga pereka bentuk kulit dan pereka letak halaman selain pencetak. Setiap editor mempunyai gaya pegangan yang tersendiri. Begitu juga dengan idealisme pereka yang sentiasa mengikuti gaya semasa. Syabas dan tahniah pada sidang editor yang sentiasa mewarnakan Tunas Cipta sepanjang 20 tahun penerbitan.

Terkini, usaha DBP memperkenalkan pelantar Tunas Cipta dalam laman https://tunascipta.jendeladbp.my/ diharap dapat menjadi medium baharu pada penulis muda dan remaja untuk terus melebarkan sayap penulisan. Semoga, pelantar ini menjadi alternatif kepada para pelajar atau rakyat Malaysia yang berada di serata dunia untuk terus mengambil cakna perkembangan sastera Malaysia mutakhir. Pada masa yang sama, penulis muda Malaysia tidak boleh melepaskannya dan terus menjadikan pelantar ini sebagai ruang dan peluang untuk mereka terus berkarya.

Di Malaysia, penerbitan bercetak mengalami pasang surutnya. Begitu juga dengan penerbitan elektronik. Perkembangan media sosial yang mendominasi masyarakat sedikitsebanyak memberikan persaingan kepada penerbitan bercetak. Lantaran itu, peranan penulis untuk terus membeli majalah Tunas Cipta setiap bulan sangatlah dituntut. Paling penting, penulis perlu membeli Tunas Cipta pada setiap keluaran. Bukan sekali-sekala, atau hanya apabila ada karya sendiri tersiar. Tanpa penulis, apa yang ada kepada majalah Tunas Cipta? Tanpa pembeli, kelangsungan hayat Tunas Cipta akan terputus. Teruslah menyokong penerbitan sastera generasi baharu ini untuk 10, 20, 50 atau 100 tahun ke hadapan.

Di takah usia 20 tahun Tunas Cipta, semoga sambutan Jubli Termbikar ini terus kekal relevan dalam arus sastera negara. Suatu hari nanti, semoga ada penulis muda yang pernah tumbuh melalui Tunas Cipta akan diangkat sebagai penerima SEA Write Award dan Anugerah Sastera Negara yang membawa gelaran Sasterawan Negara. Selamat hari jadi Tunas Cipta dan tahniah Tunas Cipta. Terima kasih penulis yang pernah mewarnakan Tunas Cipta sepanjang 20 tahun. Semoga majalah sastera generasi baharu ini akan terus melakar kanvas kejayaan.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi