25 Mei 2021, 15:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Oleh: Ummu Hani Abu Hassan

 

SATU

Ramadan 2021 ini sama anehnya dengan Ramadan 2020. Ramadan yang bukan sahaja syaitan dikurung, aku sebagai manusia pun tidak bebas. Yang meriah di luar sekarang adalah kedai- dobi, entah tiba-tiba sahaja menyerang tempat tinggalku di pinggiran Kuala Lumpur. Aku prihatin dengan kedai dobi kerana tugasku setiap hari adalah membawa dua bakul pakaian keluargaku ke sana. Selepas 30 minit, kadang-kadang 40 minit menunggu, aku pulang dengan harapan ibu bapaku sudah berada di rumah.

Menjadi abang sulung pada dua orang adik lelaki bukanlah tugas yang terlalu sukar. Cuma, bebanan itu berat seperti kain-kain yang berpusing di dalam mesin basuh di kedai dobi 24 jam. Ya, apabila ibu bapaku menggalaskan tanggungjawab “menjaga” rumah dan isinya kepadaku saat mereka sibuk! Ayahku seorang profesor di bahagian epidemiologi, manakala ibu pula bertugas sebagai pakar bius di hospital kerajaan. Frasa “saat mereka sibuk” bukan merujuk beberapa hari dalam sebulan, tetapi lima atau enam hari dalam seminggu. Aku pasrah ketika ibu berkata, “Kepulangan Dawud ke rumah bagai butir emas jatuh dari langit.”

Lima tahun aku tinggal di asrama penuh, dengan harapan dapat menggenggam skrol di pentas akhir sekolah. Rupa-rupanya yang dibekalkan pulang ke rumah adalah dua botol pensanitasi dan surat memaklumkan majlis perpisahan dengan pelajar tingkatan lima secara dalam talian. Ayah yang menjemputku di asrama terus menelefon ibu, “Dawud dah selesai yang, tak payahlah awak susah hati pasal pembantu rumah yang lari tu. Dawud boleh jaga adik-adiknya dan rumah!”

Tugasku bukanlah payah hanya perlu memastikan adik-adikku yang berusia 10 dan 13 tahun itu makan, menunaikan solat dan meneruskan sesi pembelajaran di rumah, iaitu PdPR. Waktu yang lain, kami bertiga dengan permainan masing-masing. Adikku Hakim bermain permainan dalam talian Roblox, Minecraft dan Fornite. Adik bongsu pula bermain Free Fire dan Friday Night Funkin. Aku selesa dengan PUBG, sesekali melayan Youtube Mr Kokom dan ML Studio serta bertemankan Komik Manga.

Hari-hariku, sekalipun tidak berkurung di pangsapuri 11 tingkat atau flat 20 tingkat, namun rumah tujuh  bilik ini kaku tanpa perhatian daripada ayah dan ibu. Sejak kes jangkitan COVID-19 menjadi-jadi, kesibukan mereka berlarutan dari hari ke hari. Siapakah yang prihatin dengan anak-anak barisan hadapan seperti kami? Barangkali penghantar makanan daripada Food Panda dan Grab Food yang paling memahami pada masa ini. Sekurang-kurangnya, tiga kali sehari menjenguk kami bertiga di hadapan pintu sebelum Ramadan. Aku kasihan pada adik-adikku. Mata sudah merah menghadap komputer riba, mereka menyambung pula ke skrin telefon bimbit hingga waktu berbuka puasa, walaupun mulut mereka sedang mengunyah nasi. Aku pula, tanpa pengetahuan adik-adikku, telah berjinak kembali dengan batang rokok yang kupelajari daripada senior sekolahku dahulu. Kami semua terperangkap dalam kebebasan palsu.

“Dawud … kamu belum tidur?” Suara ayah menyebabkan aku meletakkan telefon bimbit di tepi. Permainan PUBG segera dimatikan.

“Ayah dan ibu minta maaf, bukan pilihan kami berada di luar sana lebih lama, berbanding dengan Dawud dan adik-adik. Kita semua sedang berperang… .”

“Tetapi Dawud bosan ayah… .” Akhirnya aku menuturkan juga kata-kata itu. Putaran hidupku tiga bulan ini sama seperti pakaian kotor yang berpusing di dalam mesin basuh. Walaupun akhirnya akan bersih dan kering, tetapi akan kembali di kedai dobi.

“Ayah tahu.” balas ayah, menunjukkan puntung rokok di tangannya.

“Ayah jumpa ini di dalam bilik air bawah,” kata ayah dengan suara sedih.

DUA

Dari Istanbul, kami bertiga mengambil pesawat Turkish Airlines ke Hatay yang terletak di Selatan Turki. Perjalanan 1 jam 30 minit itu kami isi dengan tidur. Aku masih tidak percaya akan sampai di sini, pada saat dunia terus berperang dengan pandemik. Seminggu yang lalu, ayah menemukan putung rokokku lalu memberikan arahan tegas. “Ikut misi bantuan NGO ini, jangan banyak alasan!”

Perjalanan kami seperti putaran roller-coaster, sangat pantas dalam belitan pusingan mencemaskan. Daripada proses membuat ujian swab sehinggalah membeli tiket pesawat Kuala Lumpur ke Istanbul cuma berlaku dalam tempoh satu hari sahaja! Sebelumnya, ayah terlibat menguruskan My Travel Pass aku dan dua rakan doktornya. Kami membawa amanah NGO ayahku yang berjaya mengumpulkan dana untuk membawa empat kontena tepung pada para pelarian Syria di Kem Azaaz. Aku tidak ada jawapan mengapa begitu mudah aku berada dalam misi ini sekarang? Cuma hati kecilku berkata, ‘Tuhan sedang membuka jiwaku.’

“Dawud, malam ini kita akan menginap di Rumah Anak-Anak Yatim Darul Khair. Tolong fikirkan aktiviti Bersama-sama mereka nanti.” Doktor Asiah memberikan arahan kepadaku. Sudah lima kali dia menyertai misi ini sebagai ketua. Ayah berpesan kepadanya agar menurunkan “segala ilmu manusiawi” kepadaku. Sejurus dadaku berdebar. Terbayang dua adikku di rumah sekarang, sedang beraktiviti apa-apa dengan Maksu Adibah, adik bongsu ibu yang menggantikan tempatku menjaga rumah. Tegarkah Maksu Adibah melihat adik-adikku bermain permainan dalam talian dalam tempoh tujuh hingga lapan jam sehari?

Aku, Doktor Asiah dan Doktor Iqbal diiringi dua staf NGO IHH, sebuah NGO kemanusiaan terbesar di Turki. Van yang membawa kami dari lapangan terbang ke kawasan sempadan Reyhanli membiarkan jendelanya dimasuki angin Mei yang suam. Kali pertama aku melihat pohon zaitun yang renek, ditanam rapat-rapat, memenuhi ruang tanah yang lapang. Aku mendengar Doktor Asiah dan Mustaqim, staf IHH berbicara dalam bahasa Inggeris. Sesekali Mustaqim menterjemahkan perbualan pada rakannya dalam bahasa Turki. Aku kagum dengan pemuda Syria itu, walaupun umurnya lima tahun lebih tua daripadaku, namun dia begitu fasih dalam empat bahasa termasuklah Perancis. Dia mengabdikan dirinya bersama-sama NGO IHH. Sejak usianya 14 tahun, IHH menjadi ibu bapanya menggantikan seluruh keluarganya yang mati tertimbus bangunan dek ledakan bom tentera Syria. Dia merupakan alumni Rumah Anak-Anak Yatim Darul Khair. Kesedihannya diisi dengan menghafal al-Quran. Di usia 15 tahun, namanya ialah Mustaqim Al-Hafiz. Aku banyak tersenyum daripada bercakap. Aku masih malu pada insan hebat di sekelilingku, lebih-lebih lagi dengan diriku sendiri.

“Kawasan ini sudah menjadi ‘Arab’ berbanding Turki. Lihatlah restoran sepanjang jalan ini, makanan utamanya falafel bukan kokorec. Para wanita yang berjalan memakai niqab, itu bukan tradisi wanita Turki!” kata Doktor Iqbal yang sudah dua kali menjejakkan kaki di Reyhanli.

“Inilah dinding bumi Reyhanli sekarang, cakaran Arab-Turki bergaris antara satu sama lain. Hari ini anda mungkin merindukan kebab, esok selera anda ialah syawarma!” balas Mehmet, yang diam sejak tadi.

“Dawud, dah dapat idea untuk program sebelum iftar nanti?” tanya Doktor Asiah.

Aku segera mengangguk, menunjukkan jari ke arah beg pakaianku.

“Pertandingan mewarna boleh?” tanyaku. Ibu telah membekalkan 200 buah buku mewarna nipis dan 300 bekas pensel warna kecil untuk diberikan kepada anak-anak yatim. Barulah aku faham mengapa ibu beria-ia memenuhkan beg pakaianku.

“Manfaatkan badanmu yang besar dan tinggi ni,” kata ibu.

 TIGA

Kompleks penempatan anak-anak yatim di Darul Khair tidak seperti apa yang aku bayangkan. Suasana di sini sangat luas dan meriah. Terdapat lapan buah bangunan lima tingkat berwarna coklat dengan sebuah masjid berkubah biru. Dua bangunan dikhususkan untuk anak-anak yatim perempuan, selebihnya ialah untuk anak-anak yatim lelaki berjumlah kira-kira 500 orang. Setiap bilik lengkap dengan katil, almari dan penyaman udara pada musim panas. Anak-anak itu dikelompokkan dalam julat umur dan dipimpin oleh dua guru. Rutin mereka adalah menghafal al-Quran, kelas akademik dan kemahiran hidup berasaskan permainan.

Aku didatangi hampir 100 orang kanak-kanak dalam lingkungan tujuh dan lapan tahun kerana ditempatkan di  bangunan B. Doktor Asiah dan Doktor Iqbal pula  dibawa ke penempatan masing-masing. Wajarlah Doktor Asiah kerap mengingatkan aku tentang aktiviti. Rupa-rupanya aku bakal mandiri bersama-sama anak-anak yang hanya tahu berbahasa Arab dan Turki. Kehadiran Mustaqim di sisiku menjernihkan gelisah. Ya Allah, aku bagaikan di kelillingi malaikat berwajah manusia. Mata dan bibir mereka menguntumkan senyum. Masing-masing ingin menyentuh tanganku tetapi dilarang oleh pihak asrama kerana peraturan pandemik. Mustaqim memperkenalkan aku sebagai guru dari Malaysia. Oleh sebab tidak memahami bahasa Arab Syria yang digunakannya, maka aku hanya mampu mengangguk dan tersenyum sahaja.

“Dawud, mereka memintamu untuk bernyanyi. Kau tahu apa-apa lagu dalam bahasa Arab?” tanya Mustaqim. Aku terkejut tetapi segera kupadamkan rasa malu. Sejauh ini Allah SWT menghantarku untuk “membuang semua gemuruh dan malu” dalam diriku.

Aku menyampaikan nasyid Laukana Bainana dengan bantuan minus one dalam Youtube. Anak-anak itu terhibur. Anehnya, tiada seorang pun yang mengalirkan air mata, mereka senyum dan bernasyid bersama-samaku. Seperti tiada kisah sedih dalam hidup mereka. “Abang Mustaqim, bolehkah kami bertanya kepada Guru Dawud?” Kumpulan kanak-kanak mula berlumba mengangkat tangan. Jika ada 100 tangan diangkat, aku perlu menyiapkan 100 jawapan.

“Guru Dawud hanya mahu menjawab 10 soalan saja dulu. Kita boleh sambung lagi selepas solat terawih nanti. Guru Dawud perlu berehat. Dia telah berada di dalam kapal terbang hampir 15 jam untuk bertemu kalian,” kata Mustaqim.

“Adakah anda anak yatim seperti kami?”

“Adakah senyuman ibu anda paling cantik di dunia?”

“Berapakah saudara kandung anda?”

“Apakah permainan yang anda selalu main bersama-sama saudara kandung?”

“Adakah kebab di Malaysia lebih lazat atau kebab yang anda makan di sini?”

“Pernahkan anda memetik buah tin dengan ayah?”

“Kami dengar pemimpin Malaysia orang Islam yang baik, bolehkah kami pergi ke sana bila dewasa?”

“Adakah orang Malaysia pemurah seperti orang Turki?”

“Adakah kamu akan datang setiap tahun melihat kami?”

“Berapa juzuk al-Quran yang telah kamu hafal?”

Aku kira, soalan yang terakhir membuatku menangis ketika langit Reyhanli menyaksikan semua anak yatim di sini mengulangi hafazan 30 minit sebelum mereka lena dalam gebar.

EMPAT

“Guru Dawud, kau masih ada nenek?” Uthman duduk berjarak satu meter daripadaku, suara kecilnya dinyaringkan. Kawan-kawannya masih mengulangi hafalan al-Quran dengan tiga senior yang berusia 18 tahun. Aku menggeleng.

“Dah meninggal dunia, di taman syurga,” balasku.

“Aku hanya ada nenek saja di dunia ini, keluargaku semua sedang menanti kami di taman syurga,” kata Uthman yang berusia lapan tahun.

“Kau dari Syria?” kataku dalam bahasa Arab fushah yang kupelajari di sekolah.

“Aku dari Gaza,” katanya.

“Palestin?” Dia mengangguk. Mustaqim mendekati kami, dia menggosok kepala Uthman. Mustaqim seterusnya menjadi penterjemah aku dan Uthman.

“Turki merupakan negara pembela anak yatim. Di seluruh negeri di Turki, kerajaan membuat pertandingan negeri manakah yang paling banyak mengumpul dana untuk anak-anak yatim pelarian, khususnya Syria dan Palestin. Negeri yang paling banyak ‘bersedekah’ akan dapat pengiktirafan kerajaan,” kata Mustaqim.

Aku menatap mata Uthman. Alisnya lentik. Anak matanya berwarna coklat. Dalam jubah putih itu, dia seolah-olah terlahir menjadi seorang pejuang. Kental hatinya tergambar senyum yang ikhlas.

“Mustaqim abangku.” Uthman memeluk lengan Mustaqim.

“Dia ajarku bahasa Turki. Sangat susah,” kata Uthman. Mustaqim kemudian berbisik sesuatu di telinga Uthman menyebabkan anak itu berlari ke kumpulan al-Qurannya semula.

“Dia tiba di sini dua tahun lepas. Dia hanya menangis dan menyebut neneknya. Kami mencarikannya keluarga angkat. Setiap bulan, keluarga angkatnya datang berziarah. Rumah mereka dibedil tentera Israel. Hanya dia dan neneknya selamat. Kisahnya mirip kisah aku,” kata Mustaqim.

“Neneknya masih di Palestin?” Mustaqim mengangguk dengan soalanku.

“Neneknya buta, tak dapat membesarkannya. Wakil kami di Palestin bawanya ke sini,” balas Mustaqim.

Aku membuka dompetku, ada 400 USD di dalamnya, wang yang dibekalkan ayah kepadaku. Aku mengambil 300 USD, terus kuberikan kepada Doktor Iqbal yang sedang membayar wang makanan berbuka puasa untuk 700 orang anak yatim di Darul Khair.

“Ini sumbangan kecil saya.” bisikku.

Doktor Iqbal tersenyum. “Insya-Allah, besar nilainya di sisi Allah SWT,” kata Doktor Iqbal. Kami akan mengagihkan juadah berbuka puasa selama dua malam di Darul Khair sebelum bertolak ke kem pelarian Syria seterusnya. Doktor Asiah sibuk membeli pakaian baharu pada 100 kanak-kanak berumur enam hingga tujuh tahun.

“Kita akan meraikan anak-anak yatim yang pertama kali berpuasa penuh. Kita tak mampu beli untuk semuanya walaupun hati saya mahu begitu,” kata Doktor Asiah. Aku dapat memahami kesedihannya. Wanita besi ini menghabiskan umurnya untuk membahagiakan saudara Muslim yang susah, di seluruh dunia.

Kedai makanan dan barangan di Reyhanli kebanyakannya menggunakan bahasa Arab berbanding Turki. Hingga kini, sempadan Reyhanli-Syria terus menerima kemasukan pelarian Syria yang dianggarkan berjumlah 3.5 juta orang sejak perang saudara meletus. Reyhanli menjadi kota seribu pendatang Muslim dengan pelbagai pusat perlindungan, sekolah percuma dan asrama anak yatim seperti di Darul Khair. Mustaqim ialah contoh anak yatim yang berjaya dibantu oleh Turki. Lebih 500 orang anak yatim Palestin turut berlindung di bumi Reyhanli. Betapa mulianya tanah ini.

Hari ini 27 Ramadan 1442. Ramadan paling berbekas dalam hidupku melihat deretan anak-anak yatim mengambil pek makanan berbuka tajaan NGO kami. Kuberdoa, moga wang yang kuberikan tadi termasuklah dalam saham akhiratku. Mataku mencari-cari Uthman. Tetapi wajah di hadapanku nampak sama sahaja di balik topeng muka dan rambut ikal kemerahan. Mustaqim mengajak aku dan Doktor Iqbal berbuka puasa di bilik tetamu lelaki. Ada juadah khas Turki untuk kami; baklava dan lahmacun.

“Kau bermain PUBG?” bisikku kepada Mustaqim, supaya tidak didengari oleh Doktor Iqbal.

Pemuda berwajah Arab-Eropah itu ketawa. “Aku tahulah, tapi aku tak pernah main. Kau tentu cemerlangkan?” soalnya.

“Kau rasa permainan tu berdosa?” ujiku lagi.

“Eh, kalau kau main luar waktu solat, tentulah boleh, kenapa nak berdosa?”
“Habis tu kenapa kau tak main?” Aku merenung matanya.

“Dawud, daripada tujuh ahli keluargaku, aku satu-satunya yang selamat.  Dulu aku bertanya kepada Allah SWT, mengapakah Dia tak matikan aku bersama-sama keluargaku? Tetapi sekarang, soalanku pada diriku, mengapa Allah SWT masih hidupkan aku, bukan ibu bapaku, bukan adik-beradikku? Jawapannya adalah apa-apa yang kau lihat sejak bertemu denganku. Aku ada tugas penting di dunia ini. Tugas menggembirakan sebanyak mungkin manusia yang teruji di sini. Anak-anak yatim itu, mereka amanahku. Justeru, aku tiada masa untuk perkara seperti kau tanyakan tadi.” kata Mustaqim.

Malam itu, Mustaqim membawaku ke sebuah pusat dobi dalam kompleks asrama. Kira-kira 100 buah mesin basuh disediakan untuk mencuci pakaian kotor warga di Darul Khair. Para pekerja dobi terdiri daripada staf IHH dan sukarelawan tempatan. Anak-anak yatim di sini tidak dibenarkan mencuci sendiri pakaian mereka. Melihat pakaian yang berpusing di dalam mesin basuh, langsung fikiranku terbang ke kedai dobi di tepi rumahku. Secara kebiasaanya, aku menunggu 30 hingga 40 minit sambil bermain permainan dalam talian. Tetapi kali ini, aku duduk menunggu dengan al-Quran kecil. Di dalam kawasan itu tiada sesiapa pun tanpa al-Quran. Masing-masing membaca, mentadabur dan menghafal kalam-Nya meraikan bulan turunnya al-Quran. Tiba-tiba bahuku disentuh oleh Mustaqim. Dia kemudiannya memelukku. Menangis kuat. “Gaza diserang zionis Israel sekarang. Salah seorang korbannya nenek Uthman!” Mustaqim menggigil, seperti menahan kemarahan dan sedih yang dahsyat. Aku tahu dia mengalami trauma. Air mataku bergenang.

Ramadan 2021 banyak caturan Allah SWT yang tidak terungkap. Pandemik COVID-19 yang tidak pergi, kezaliman zionis Israel menjadi-jadi, penderitaan dan kemiskinan umat Islam di seluruh dunia, bagai perca yang dijanjikan. Aku berbisik semula di telinga Mustaqim, ayat-Nya yang menyentak lekaku selama 18 tahun ini.

“Dialah yang menciptakan adanya mati dan hidup untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu, siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa lagi Maha Pengampun.”

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

Yang Berkaitan

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.