8 Mei 2021, 23:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tokoh sastera apatah lagi sasterawan negara mungkin tidak memandang medium eceran dalam dunia penerbitan yang begitu diminati oleh generasi muda, iaitu zine. Dipandang enteng mungkin disebabkan oleh zine berlabelkan penerbitan bukan profesional dan tidak rasmi yang dihasilkan oleh kelompok yang meminati karya sastera dan penghasil sastera menginginkan hasil karya dan kreativitinya hadir dalam bentuk bercetak. Waima apa-apa pun tanggapannya, zine ibarat tangki oksigen, terutama kepada penulis pemula yang mahu karya mereka “dibukukan” walaupun dicetak tanpa warna dan dihadirkan kepada khalayak sastera dalam jumlah naskhah yang sedikit. Zine juga menjadi pentas untuk penulis pemula berkisah tentang apa-apa sahaja. Yang paling banyak dihasilkan oleh kelompok penulis pemula ialah zine puisi.

Pada awalnya, zine sinonim dengan risalah yang kandungannya ditulis tangan atau diketik menggunakan mesin taip, setelah itu dibuat salinan menggunakan mesin fotostat, dijilid dengan pengokot dan kemudiannya dijual atau diedarkan secara percuma kepada kelompok tertentu yang meminati kandungan zine itu. Kini, penghasilan zine sudah dinaik taraf, ada zine yang dicetak warna dan dijilid ala buku, dan ada yang diterbitkan melalui rumah penerbitan. Dalam dunia penulisan kreatif tanah air, penghasilan zine dilihat mula rancak pada akhir tahun 2000.

Selaku pemain muda dalam industri penerbitan, Hafiz Latif yang menerajui Legasi Buku Oakheart menganggap zine sebagai batas untuk penulis pemula menyemai ilham dan bakat, selain sebagai baja yang menyuburkan semangat untuk terus berkarya. Zine akan memberikan keyakinan kepada penulis pemula untuk berjinak dengan dunia penulisan sebelum yakin untuk menyerahkan karya mereka kepada penerbit sedia ada atau yang ternama.

Fizikal zine yang nipis dan tidak beriklan berbeza daripada majalah terbitan penerbit besar dari segi kandungan dan persembahan reka letak. Namun begitu, sifat zine yang menjadikannya menarik pandangan mata ialah kandungannya yang dihias dengan lakaran, dihidupkan dengan monolog dan diserikan dengan apa-apa sahaja mengikut kreativiti penghasil zine itu. Istimewanya zine kerana dirinya yang bersifat bebas dan penyampaian kandungannya bersifat santai. Penghasil zine bebas untuk meletakkan apa-apa saja sebagai isi, seperti tulisan, lukisan, lakaran dan foto. Kebebasan yang ada pada zine itu membuka ruang kepada pengkarya menjadi lebih kreatif untuk berkarya dan menghasilkan sesuatu yang lebih menarik.

Maraknya penerbitan zine pada dekad mutakhir ini memperlihatkan anak muda punya ilham seluas langit untuk berkarya. Penghasilan zine juga membuktikan penulis pemula tidak menongkat dagu sambil menunggu peluang karya mereka diterima untuk memasuki rumah penerbitan tersohor. Persoalannya, mengapa penulis pemula menuju kepada zine, memilih zine untuk memperagakan karya dan berterusan menghasilkan zine? Sudah pasti pembikin zine dan penulis pemula ada sederetan jawapan kepada persoalan itu.

Zainal Rashid Ahmad dalam tulisannya tentang zine memuji usaha anak muda bernama Karim Mohd dan Normazni Ayub (Jasad) yang menubuhkan entiti Merekareka, yang mewarnai ekosistem zine selaku pemberi khidmat untuk penerbitan zine. Karim dan Jasad melihat dengan adanya zine, penulis pemula berpeluang mendedahkan agenda pemikirannya, membolehkan mereka meluahkan kata-kata dan ungkapan mengikut cita rasa diri yang tidak terhalang oleh piawaian estetika yang dominan, serta peraturan ejaan dan tanda baca. Petak Daud juga satu nama yang dikenali dalam ruang gerak kerja penerbitan mandiri dan zine. Sebagai pembikin zine, Petak Daud mengenali zine sebagai satu alternatif kepada buku. Zine merintis satu laluan berbeza daripada laluan kebiasaan dalam dunia penerbitan. Begitu juga dalam soal harga, soal kebebasan isinya, soal kualiti dan jenis cetakannya. Semua itu menjadi magnet yang melekatkan zine dengan peminatnya yang rata-rata daripada kelompok yang gemar dan banyak berkarya tetapi mahu kumpulan karyanya “segera” disatukan dalam medium yang mudah dihasilkan, murah harganya dan pantas menemui peminatnya. Maka, disebab oleh faktor itulah, zine menjadi pilihan penulis pemula.

Disebabkan tanpa perlu melalui halangan penilaian dan pemilihan oleh panel pakar, sama ada karya itu “layak” disiarkan dalam zine, maka ada yang menggelar penghasilan zine sebagai kerja “syok sendiri”. Yang menariknya, pembikin zine dan penulis pemula yang bernama Sufian Mohamed Salleh tidak terasa hati dengan sindiran itu, malah melabelkan zine yang dihasilkannya sendiri sebagai “zine puisi syok sendiri” (lihat hantaran dalam blog beliau, http://transit-seni.blogspot.com). Walaupun syok sendiri, namun terhasil juga empat zine yang dicetak dalam format zine mini berketebalan 20 muka surat (termasuk kulit), menggunakan kertas bersaiz A5 dan menghimpunkan sejumlah 12 buah sajak dan empat catatan kata-kata puitis. Menurut Sufian, walaupun zine itu hanya memuatkan 12 buah puisi, namun semua puisi itu membawakan mesej yang pelbagai dan ditulis oleh orang muda berjiwa muda, yang hatinya kekal bergelora mahu terus berapresiasi melalui puisi. Maka, zine itulah yang memberi nafas kepada karya puisinya untuk terus hidup dalam ekosistem sastera generasi muda.

Alasan seterusnya yang menjawab kenapa membuat dan memilih zine ialah kerana penulis pemula menyakini zine lebih dikenali dan diterima oleh generasi muda. Mereka juga melihat zine tersebar dengan meluas, terutama apabila zine itu dipromosikan dalam media sosial. Malah zine juga menembusi ruang niaga dalam talian untuk jualan terbuka. Dengan harganya yang lebih murah, sudah pasti zine akan dimasukkan ke dalam raga belian oleh pelanggan yang melayari kedai maya yang menjual zine itu. Hal ini juga meredakan rungutan pembeli yang menyatakan harga buku mahal, maka zine ialah penyelesaian kepada masalah mereka.

Penerbitan Langit kekal dengan momentum menerbitkan zine hingga hari ini. Begitu juga dengan Legasi Buku Oakheart yang menggunakan label Zine Oakheart untuk penerbitan zine yang diusahakannya. Rumah penerbitan Kata-Pilar juga mengambil inisiatif menerbitkan zine Tukang Puisi bagi mendokumentasikan puisi tersebut dalam bentuk penerbitan yang lebih konvensional dan standard. Akan tetapi, walaupun zine mampu merancakkan dunia penulisan dan memberikan nafas kepada penulis pemula untuk terus segar berkarya, kebimbangan terhadap trend zine tetap wujud. Hal yang paling menjadi kerisauan ialah lambakan karya yang mentah di pasaran kerana zine tidak peduli soal kualiti tetapi sekadar memenuhi keinginan penulis pemula dan pengkarya lain untuk mempunyai karya bercetak.

Pada hari ini, zine turut hadir di pesta buku dalam negara, acara baca puisi, bengkel penulisan, diskusi media sosial dan jual beli dalam talian. Sebagai tanda sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada penerbitan zine, ada pembikin zine yang mencipta slogan “Biar Santai Asal Sampai” kerana zine sememangnya ibarat oksigen yang diperlukan oleh penulis pemula khususnya, untuk menghidupkan ilham dan menyuburkan bakat yang ada dalam diri mereka. Walaupun zine dilihat sebagai berstatus amatur tetapi penampilannya tetap ada estetika. Dalam keadaan semakin banyak penerbit buku gulung tikar akibat kelembapan jualan buku, sehingga menyebabkan peluang menerbitkan buku semakin menipis, maka zine dilihat sebagai pemberi nafas dan penyambung hayat kepada penulis, khususnya bagi penghasil karya sastera.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.