Oleh Lawren Gara
24 April 2021, 21:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Sesi wawancara bersama-sama editor Tunas Cipta.

Kuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui majalah Tunas Cipta telah mengadakan kerjasama dengan Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya (UM) untuk mengadakan sesi perkongsian ilmu antara mahasiswa fakulti tersebut bersama-sama editor Tunas Cipta iaitu Puan Siti Noorisa Abdul Khlil. Sesi perkongsian yang diadakan pada 24 April 2021 bertujuan  melengkapkan tugasan kursus penyuntingan selain menimba ilmu berkaitan bidang penulisan dan penyuntingan.

Antara persoalan yang diketengahkan ialah  kerancakan industri penulisan di Malaysia. Menurut Puan Siti Noorisa, cabaran utama ketika pandemik COVID-19 melanda seluruh negara ialah sasaran pembaca mulai berkurang dan terdapat beberapa syarikat penerbitan mengecilkan saiz syarikatnya kerana kurang permintaan dalam kalangan pembaca di Malaysia. Walau bagaimanapun, penulis di Malaysia tidak tenggelam, malah semakin rancak menghantar karya ke pelbagai jenis saluran sama ada secara persendirian atau melalui syarikat penerbitan, tambah beliau lagi.

Selain daripada berkongsikan tentang industri penulisan, beliau turut berkongsikan tentang proses penyuntingan yang turut menjadi antara cabaran kepada editor kerana segelintir penulis kurang peka tentang panduan yang telah ditetapkan oleh sesebuah syarikat penerbitan tersebut. Hal ini disebabkan setiap syarikat penerbitan mempunyai panduan dan format yang tersendiri, termasuk DBP. “Penulis perlu memainkan peranan dalam menghasilkan karya mengikut format yang telah ditetapkan. Selain itu, penulis dan penyunting harus mempunyai kerjasama yang baik bagi menghasilkan karya yang berkualiti,” ujar editor Tunas Cipta ketika diwawancara. Terdapat banyak pengalaman yang telah dikongsikan oleh editor majalah Tunas Cipta sepanjang sesi wawancara tersebut berlangsung.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.