6 April 2021, 10:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Kangsar – “Pihak yang bertanggungjawab mempertahankan jadi diri seseorang individu (penulis) ialah badan persatuan penulis.” Demikianlah yang diungkapkan oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, Setiausaha Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) semasa memberikan ucapan pada Mesyuarat Agung Tahunan Lembaga Pembangun Sastera (LEPAS) Perak kali ke-69.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) turut mengumumkan pelbagai program yang bakal dirancang dan telah dilaksanakan oleh  GAPENA sepanjang tahun ini. Antaranya termasuklah aktiviti pengumpulan puisi dalam tulisan Jawi bertemakan Ramadan (Tarikh tutup penyertaan pada 31 Mac 2021), Sayembara Penulisan Skrip Drama TV dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan penulisan puisi yang bakal diterbitkan dalam bentuk antologi.

Bersempena dengan mesyuarat agung tersebut, LEPAS turut mengadakan program Bengkel Penulisan Buku Cerita Kanak-kanak yang menampilkan dua orang penceramah, iaitu Norazimah Abu Bakar dan Faizah Sulaiman. Sebanyak 40 orang peserta yang telah menyertai bengkel tersebut, dan telah dirasmikan oleh Ketua Dua GAPENA, iaitu Amiruddin Md Ali Hanafiah itu. Bengkel yang berlangsung dari jam 9.00 pagi hingga 11.00 malam mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan remaja.  Secara tidak langsung, LEPAS dapat mencungkil bakat penulisan dalam kalangan mereka.

Mesyuarat Agung Tahunan LEPAS Perak kali ke-69 tersebut telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur Tenaga Air dan Pengangkutan Awam Negeri Perak merangkap ADUN Lintang, Sg. Siput (U), Dato’ Zolkafli Harun. Dalam ucapannya, Zolkafli menyatakan sokongan beliau terhadap apa-apa usaha yang dilakukan dalam memartabatkan, dan memperkasakan bahasa Melayu. Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Manong, Mohamad Zuraimi Razali yang juga Ketua Dua LEPAS.

Mesyuarat Agung Tahunan LEPAS Perak kali ke-69 yang diadakan di Dewan Sri Perak, D’ Village Karai, Enggor.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.