19 Mac 2021, 10:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Munculnya penulis muda hingga hari ini bak cendawan yang tumbuh selepas hujan. Itu belum lagi mengira jumlah penulis baharu atau penulis pemula yang baru memunculkan mukanya di beranda rumah karya sastera. Apabila bercakap soal penulis muda dan dunia penulisan mereka, akan ditemukan pelbagai sorotan, sama ada bernada kritikan yang membina atau hentaman yang mematikan semangat dan minat untuk terus menulis. Antara nada kritikannya termasuklah penulis muda memandulkan sastera, penulis muda kurang agresif dan kritis menyuarakan pandangan, karya penulis muda tidak intelektual, penulis muda tidak berbisa, di mana idealisme penulis muda, dan kemelut penulis muda. Tidak kurang juga irama pujian yang mengimbangi deretan kritikan itu, namun apa bentuk pujiannya tidak perlu dinyatakan di sini kerana setiap yang positif itu sudah pasti dihadam dengan cukup berselera oleh penulis muda.

Kenapa penulis muda sering menjadi bahan tumpuan atau tajuk berita? Sememangnya, kemunculan penulis muda mengingatkan kita betapa golongan ini menjadi sorotan atau tumpuan, terutama apabila mahu meninjau berkesan atau tidak kehadiran mereka dalam mewarnakan dan merancakkan dunia sastera. Dan, berkesan atau tidak tulisan mereka selalunya disorot melalui penampilan karya mereka. Adakah mereka sekadar iseng-iseng penulis muda atau benar-benar serius menggubah karya dalam kanvas sastera? Kelebihan anak muda dalam apa-apa pun bidang kehidupan ialah tenaga dan semangat mereka. Sebagai orang muda, mereka lazimnya dilabelkan lebih idealistik, teruja untuk mencuba sesuatu yang baharu dan kadangkala berani pula menongkah arus.

Memang tidak dinafikan, banyak penulis muda yang berjaya menghasilkan karya, seterusnya membariskan karya mereka untuk memasuki pintu pasaran buku negara. Namun begitu, karya penulis muda yang membanjiri pasaran buku sudah tentulah genre novel, terutama novel popular, yang sebahagian besarnya berjaya menarik minat syarikat penerbitan untuk projek adaptasi daripada novel kepada drama atau telefilem. Begitu juga dengan sajak yang menjadi pilihan penulis muda dalam berkarya. Jika ditanya editor majalah atau akhbar yang menyediakan ruangan puisi untuk disiarkan dalam media berkenaan, diyakini kotak e-mel mereka saban hari menerima sajak yang dihantar oleh penulis baharu, yang meletakkan sejuta harapan agar karya mereka terpilih oleh editor. Satu lagi genre sastera yang paling mendapat tempat di hati penulis muda ialah cerpen. Begitu banyak yang mula berkarya dengan menghasilkan cerpen. Berkemungkinan cerpen mudah dihasilkan, asalkan ada ilham dan minat, maka terhasillah cerpen yang hanya perlu memenuhi antara lima hingga 10 halaman kertas A4.

Persoalannya, adakah lahirnya begitu banyak novel, cerpen dan sajak memperlihatkan sumbangan yang signifikan daripada penulis muda dalam memperkasakan kesusasteraan? Adakah hal ini bermakna dunia sastera penulis muda terbelah dua, atau keinginan kelompok itu berbelah bahagi, antara memenuhi permintaan pasaran, mengisi ruangan majalah dan akhbar, dan menonjolkan nama dan bakat, ataupun terpaksa meminggirkan penghasilan karya intelektual kerana karya yang bersifat popular lebih mudah dihasilkan dan mendapat sambutan yang begitu baik daripada khalayak? Hal inilah yang agak mencacat cela landskap dan dekorasi dunia sastera penulis muda. Amat kurang, atau berkemungkinan tidak ada yang mahir menulis skrip drama untuk pementasan drama atau teater. Begitu juga dengan penulisan karya sastera tradisional seperti syair, gurindam, seloka dan pantun yang masih sunyi tanpa ada minat daripada penulis muda untuk memugar warisan berharga itu. Apatah lagi penghasilan karya ilmiah atau yang bersifat intelektual. Berapa banyak penulis muda yang baru menamatkan pengajian peringkat sarjana atau doktor falsafah yang berjaya mengolah tesis mereka untuk diterbitkan menjadi buku? Padahal kajian sastera oleh generasi muda amat diperlukan sebagai rujukan sastera yang mutakhir. Kelompongan ini menyebabkan rujukan sastera hanya berlegar pada karya yang dihasilkan oleh penulis terdahulu, yang kebanyakannya meninggalkan nama untuk dipetik dalam wacana sastera dan disebut dalam bicara karya. Wujudnya ruang kosong ini tidak seharusnya dipandang enteng oleh kelompok penulis muda memandangkan jika mereka banyak menyumbangkan karya untuk memperkasakan kesusasteraan, tetapi tanpa karya yang kritis dan intelektual, apa yang mereka hasilkan tidak akan dapat menjadi rujukan untuk generasi seterusnya. Jika perkara ini berterusan berlaku, memang alangkah ruginya mereka berkarya.

Walaupun dikatakan penulis muda ini banyak idea baharu dan berani berkarya melawan arus perdana, namun kelihatannya penulis muda kurang agresif dan tidak berani menyuarakan pandangan secara kritis. Komentar ini pernah disuarakan oleh Roslan Jomel (dalam Forum Canai Bahasa dan Sastera berjudul “Citra Karya Penulis Muda” di Dewan Bahasa dan Pustaka). Agresif yang dimaksudkan bukan dilihat dari segi jumlah karya yang dihasilkan, sebaliknya pembabitan penulis muda dalam menyatakan pandangan dalam penulisan mengenai sesuatu isu semasa. Memang ada yang menyelitkan pandangan berkaitan isu semasa dalam penulisan, namun apa yang ditulis itu mungkin kurang kritis berbanding dengan penulis terdahulu. Penulis muda juga kurang ke hadapan untuk menghujahkan sesuatu isu atau melontarkan idea dan komentar. Yang sering dilihat ialah kehadiran mereka dalam bicara atau bedah karya sendiri, ataupun beraksi di pentas deklamasi sajak, terutama dalam sayembara penulisan atau deklamasi sajak.

Setiap kali ada diskusi berkaitan dengan isu, perkembangan, teori dan karya sastera, akan tampil nama seperti Lokman Hakim, Hafiz Latiff dan Wan Nor Azriq (sekadar menyebut nama yang sering memeriahkan dunia penulis muda). Berkaitan dengan puisi pula, kelihatannya puisi itu dilontarkan begitu sahaja secara polos tanpa mengambil kira aspek pemilihan dan pemaknaan diksi atau penggunaan alat susastera yang harus disesuaikan denga isi pemikiran puisi tersebut. Dalam era 1960-an dan 1970-an, sastera cenderung dikenal dengan sajaknya yang sangat berbau realiti, bernada dinamik dan bersifat kritis. Patah kata dan bilah bahasa yang digunakan juga tajam dan menikam sukma. Contohnya, sajak T. Alias Taib dan dan Latiff Mohidin, yang sarat dengan keintelektualan, kaya dengan imaginasi, disulami diksi yang puitis dan ragam bahasa yang tersirat makna yang berlapis dan mendalam.

Lahir pelbagai pandangan apabila berbicara tentang fenomena sastera dalam kalangan penulis muda. Ada yang berpendapat karya sastera yang dibawa oleh penulis baharu dan penulis muda lebih kreatif dan bernada segar kerana menggunakan objek dan subjek yang pelbagai. Mereka tidak terikat dengan gaya lama dan bebas menggunakan apa-apa sahaja untuk diadunkan dalam karya, terutama sajak. Berkaitan hal ini, penulis muda pasti berhujah, penyair terdahulu terikat dengan seni menulis puisi semata-mata. Kenyataan ini memang tidak dinafikan ekoran keberhasilan dan kejayaan eksperimentasi mereka itu terbukti apabila ada penulis muda yang berjaya menggungguli hadiah sastera peringkat negeri dan kebangsaan. Kendatipun begitu, tidak kurang juga yang terhenti pengkaryaannya lalu gagal menghasilkan kumpulan cerpen atau puisi untuk diterbitkan dalam bentuk buku. Berkemungkinan mereka masih lena dibuai dendangan kejayaan karya eceran itu tadi. Walaupun ada penerbitan alternatif seperti indie dan zine, yang dapat memuaskan keinginan penulis muda yang mahu karya mereka terbit dalam tempoh yang singkat, akan tetapi kita masih perlukan buku sebagai tanda aras sebuah negara yang maju dengan warganya yang membaca.

Penulis muda pasti sedar mereka memiliki idealisme. Penulis yang baik dapat mencerna idealismenya dengan jitu dan tidak menjadikan karyanya hambar, sekadar propaganda ataupun picisan. Idealisme itu pula perlu dipertajam oleh pertukangan seninya. Mungkin ada penulis muda yang berkata, usia mereka masih muda dan ilmu mereka masih cetek, lantas tidak layak untuk melontarkan kritikan, ataupun belum tiba masa untuk menulis karya yang bersifat intelektual. Berkemungkinan juga penulis muda berpandangan mereka seharusnya melalui “ujian saringan” dengan karya pertama yang mungkin sarat dengan perasaan, ditulis secara spontan dan dibumbui oleh idealisme muda remaja. Setelah disaring beberapa kali melalui beberapa penghasilan karya, lama-kelamaan akan lahirlah karya yang bermutu dan intelektual.

Ahmad Patria Abdullah.

Perlu dicatatkan di sini bahawa Masuri S. N. (sasterawan unggul Singapura) mula berkarya pada tahun 1940-an semasa zaman Jepun. Beliau berusia remaja pada ketika itu, tetapi beliau mampu menghasilkan karya yang baik pada masa itu. Demikian juga dengan Usman Awang, yang berkarya pada penghujung tahun 1940-an, dan karya terbaik daripada beliau muncul pada usianya yang muda. Karya agung A. Samad Said, iaitu novel Salina lahir ketika beliau berusia 23 tahun. Novelis fantasi, Ahmad Patria Abdullah menghasilkan siri Saga Artakusiad yang pertama, Permata Aurorius pada usia 17 tahun. Fakta ini bermakna, status sebagai penulis muda, yang usianya sama ada dalam lingkungan 20-an atau 30-an, bukan alasan atau penghalang untuk menghasilkan karya yang menggugah jiwa dan menjentik minda.

Masa muda ialah masa yang terbaik untuk mengayakan ilmu, menggiatkan pembacaan, mengasah teknik penulisan, menaratifkan pengalaman dan membukukan ilham atau idea. Waima berapa usia seorang penulis itu, kalau idealisme kehidupannya telah malap atau dia sekadar mengejar populariti, meminggirkan soal kualiti dan kritis serta tidak jujur terhadap penulisannya, kemilau karya yang dihasilkan itu tidak akan bergemerlapan. Idealisme seni, ilmu, pembacaan dan pengalaman harus terus dihidupkan dan diadun bersama setiap kali berkarya, selain bakat berkarya itu harus digilap saban waktu. Tanpa semua itu, karya yang dicipta akan hanya dilihat dan dibaca sebagai rangkaian kata-kata, menjadi hambar dan tidak bermakna apa-apa bagi dunia kesusasteraan. Jika tidak mahu perkara itu berlaku, maka penulis muda harus menutup lompong yang ada itu dengan karya berkualiti daripada pelbagai genre sastera yang akan menjadi sebutan dan rujukan, sepertimana kita masih merujuk karya intelektual penulis terdahulu.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi