Oleh Shield Sahran
19 Mac 2021, 11:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jiran di belakang rumah kedengaran kecoh. Aku mengintai dari tingkap untuk mengintip perbualan mereka. Seolah-olah mereka sedang bergaduh, tetapi sebenarnya tidak.

Baka ni? Bisi manuk?

Sayup kedengaran di kuping telingaku, salah seorang ahli rumah menyahut, “bisi. Kitu, aram kitai ngaga sama.

Aku melihat mereka menetak dua ekor ayam di belakang rumah dan bunyi tetakan itu menyebabkan mataku berkedip beberapa kali. Kemudian, aku menoleh ke arah reban ayam abah. Aku menghampiri reban ayam abah dan mendapati, ada seekor ayam jantan berbulu putih sedang menatap mataku.

Noa, itu nama si ayam jantan itu. Seingat aku, abah ada beberapa ekor anak ayam. Dua ekor abah beri kepada jiran belakang rumah kerana abah tidak larat menjaganya. Reban ayam tidak sebesar mana. Cukup untuk empat ekor ayam sahaja.

Daripada anak ayam yang sangat kecil, aku melihat anak ayam itu membesar perlahan-lahan. Menciak pada setiap pagi untuk meminta makanan. Abah akan menyuap dedak yang sudah dilembikkan dengan air ke mulut anak ayam yang ternganga. Aku memerhati kelakuan anak ayam itu dengan penuh rasa ingin tahu. Lalu, aku duduk mencangkung di sebelah abah yang sedang memberitahu aku tentang hal-hal berkaitan dengan ayam.

“Ini anak ayam jantan. Yang itu anak ayam betina. Abah bela sepasang. Yang abah bagi dekat jiran belakang pun sepasang. Nanti kalau dua-dua dah besar, kita akan dapat telur ayam kampung segar.”

“Berapa lama nak tunggu ayam ni besar?” Aku bertanya.

“Tunggu dalam empat ke lima bulan. Nanti kautengok, ayam jantan ni akan jadi besar. Kemudian akan dengar ayam jantan ni berkokok. Nanti senang kau nak bangun pagi dan tak lambat pergi sekolah.”

Aku memandang ayam itu semula. Ayam jantan lebih menarik perhatian aku kerana kokokan ayam itu nanti mempunyai fungsi yang sama dengan jam penggera. Ayam jantan itu juga lebih jinak berbanding dengan ayam betina. Maka perhatian aku lebih kepada ayam jantan tersebut.

Seperti yang abah katakan kepada aku, ayam jantan itu membesar di hadapan mata. Bulu kuning yang halus perlahan-lahan bertukar menjadi bulu pelepah putih yang jarang. Ayam jantan itu berjalan terkedek-kedek setiap kali dilepaskan dari reban. Aku terhibur dan berpendapat, “ayam nampaknya lebih baik daripada kucing.” Kaki aku sudah banyak kali dicakar oleh kucing setiap kali aku lambat memberikan kucing makan. Jadi, aku merasakan ayam lebih menarik untuk diberi perhatian.

Setiap kali aku pulang dari sekolah pada waktu tengah hari, aku akan menjengah ke reban ayam. Ayam jiran semakin besar, begitu juga dengan ayam belaan abah. Ayam itu tidak ada nama, jadi aku memanggilnya Noa tanpa sebab yang jelas. Namun apabila nama itu disebut, ayam jantan itu meloncat-loncat. Seolah-olah ayam jantan itu suka pada nama tersebut.

Lalu aku berkata pada abah, “ayam ni Zil bagi nama Noa.”

“Ikut suka kau,” balas abah, tak begitu ambil peduli.

“Tapi ayam bukan haiwan peliharaan,” celah kakakku yang terdengar perbualan kami ketika sedang memberikan kucing makan. “Ayam tu haiwan ternakan.”

“Siapa cakap ayam tak boleh jadi haiwan pelliharaan? Kau tak nampak Noa sangat jinak? Kau tengok sendiri, dia tak patuk aku,” kataku lagi sambil menunjukkan Noa yang duduk diam di ribaku. Ya, Noa langsung tak melarikan diri, malah cukup suka apabila aku membelai paruhnya!

Melihat kepatuhan Noa terhadapku, maka aku membuat keputusan, “Noa ialah haiwan peliharaan walaupun dia ialah haiwan yang boleh dimakan. Tapi, aku tak akan benarkan Noa disembelih. Sekarang, Noa dah setaraf dengan kucing di rumah kami.”

Maka, abah tidak menyentuh Noa lagi. Aku yang menguruskan Noa. Aku meletakkan dedak di dalam reban ayam. Noa makan dengan lahap. Apabila aku pulang dari sekolah, aku akan menjenguk Noa dan melihat jika dedaknya sudah habis. Jika habis, aku akan cepat-cepat mengisi bekas makanan Noa. Apabila aku mengisi bekas makanan, Noa duduk diam dan menunggu. Tidak seperti ayam abah yang seekor lagi, mengacah-acah mahu mematuk aku. Kadang-kadang, ayam itu betul-betul mematuk aku sehingga aku berteriak dengan geram.

“Jangan sampai aku mintak abah sembelih kau, dasar ayam… .”

Noa berbeza. Dia tidak sama seperti ayam jantan yang biasa kulihat. Ayam yang abah beri kepada jiran di belakang rumah juga buas semacam. Habis tanah dicakar dan dipatuk, kakinya juga dipasang tali dan hujung tali dipasangkan batang besi yang dipacak ke dalam tanah supaya ayam jantan jiran tidak mengejar orang.

Pada setiap hari minggu, aku akan duduk di pangkin kayu dan Noa duduk di hadapan aku. Aku memandikan Noa dengan syampu sehingga berbuih dan kemudian menjemur Noa di bawah cahaya matahari sehingga pelepah putihnya bersinar dan berkilat. Aneh, Noa tidak lari! Noa suka diperlakukan seperti itu. Bulu pelepahnya juga semakin cantik dari hari ke hari.

“Kalau bulu pelepahnya terus cantik begini, kita boleh bawa ayam ni pergi bertanding ayam tercantik di kampung nanti.” Abah memberitahu aku

“Ada pertandingan ayam cantik ke?” tanyaku, terkejut. Aku tidak pernah mendengar pertandingan sebegitu. Biasanya pertandingan ayam serama atau burung peliharaan.

“Ada, nanti kalau ayam jantan ni dah cukup dewasa, kita cuba masuk bertanding,” kata abah lagi.

Aku hanya mengiyakan. Tetapi aku tahu Noa memang seekor ayam jantan remaja yang cantik. Kokokannya sudah mula kedengaran seminggu yang lepas. Belum begitu lantang, tetapi sekurang-kurangnya dapat mengejutkan aku daripada tidur.

Seterusnya, aku dan Noa bertambah akrab. Kakakku ketawa apabila mendapati Noa begitu akrab denganku, ayam jantan itu tidur di bawah ketiak aku ketika aku meletakkan Noa di atas riba.

“Ayam kau tidur celah ketiak aku, entah-entah ketiak kau busuk? Cuba kau tengok, entah-entah ayam kau tu pengsan?” kata Kakak.

“Eh, aku dah mandilah.”

“Hahaha! Nampaknya kau dah jadi mak ayam sekarang.” Kakak mengusik aku.

“Aku bukan mak ayamlah. Istilah ‘mak ayam’ tu tak baik,” balasku lagi.

“Aku bukannya maksudkan kau tu ‘mak ayam’, tapi memandangkan haiwan yang kau bela tu ayam, kau macam mak kepada seekor ayam.”

“Aku bukan mak. Aku kawan Noa.” Aku segera menafikan. Ya, aku menganggap Noa seperti kawan baikku sendiri! Mungkin sebab di sekolah, aku tak memiliki kawan yang banyak, aku kerap bersendirian dan segelintir kawan sekelas juga mentertawakan aku apabila mereka mendapat tahu aku membela seekor ayam. Kata mereka, bela kucing lebih seronok. Tetapi aku mengatakan, itu hak aku untuk memilih haiwan apa untuk dibela.

“Ayam untuk dimakan! Bukan jadi haiwan peliharaan!” Kawan-kawan mengejek aku.

Tetapi aku berkeras dengan pendapatku. Ayam lebih baik daripada kucing meskipun aku diketawakan. Kataku, “sekurang-kurangnya, aku tak dicakar kucing. Dan kalau nanti rumah aku tak ada makanan, aku boleh makan ayam. Kita tak boleh makan kucing. Haram kalau kita makan kucing.”

“Eee … kau sanggup makan ayam yang kau jaga? Kawan makan kawan, pengkhianat!”

Aku mendengus geram apabila mendengar tuduhan mereka. Kenapa pula aku dituduh pengkhianat? Bukankah jawapan yang aku berikan ialah jawapan yang paling tepat? Akhirnya, aku malas bertekak lagi dengan mereka yang tidak sependapat dan tidak bersetuju memang hanya membuang masa dan tenaga.

Aku melihat Noa semakin besar dan kokoknya juga semakin lantang. Betapa bangganya aku setiap kali melihat Noa bertenggek di atas kayu dan disinari cahaya pagi. Noa ayam jantan dewasa yang cantik. Sanggupkah ayam secantik Noa ini dijadikan makanan sungguhpun dia seekor ayam? Tidak, aku tidak sampai hati untuk mencabut bulu ayam Noa, apatah lagi memakannya.

Selepas itu, sesi persekolahanku berubah masa. Aku tidak lagi bersekolah di waktu pagi, sebaliknya aku kini pergi ke sekolah pada waktu petang. Aku sibuk menyiapkan kerja sekolah pada sebelah pagi dan apabila menjelang tengah hari, aku tergesa-gesa ke sekolah. Pada awalnya, aku akan singgah di hadapan reban ayam dan berkata pada Noa yang memandang aku sambil terloncat-loncat.

“Noa, aku dah tak sekolah rendah lagi. Aku dah masuk sekolah menengah. Aku belajar sebelah petang. Tapi sebelah pagi aku sibuk siapkan kerja rumah. Nanti aku jenguk kau bila aku tak sibuk. Jangan nakal-nakal tau.”

Lalu aku pergi ke sekolah, meninggalkan Noa dengan janji yang sebenarnya aku tak dapat tepati. Lama-kelamaan, aku tidak singgah lagi di reban ayam.

* * *

Entah bagaimana, aku terlupa masa yang berlalu. Banyak hal yang berlaku. Perhatianku bukan pada seekor ayam lagi. Ternyata, suasana di sekolah menengah berbeza daripada sekolah rendah. Aku mendepani alam remaja yang perlahan-lahan menjauhkan aku daripada Noa. Pada suatu pagi di hari minggu, kakakku berkata ketika kami sedang duduk menonton rancangan di televisyen.

“Kau tahu tak? Ayam kau tu dah gila.”

“Gila?” Aku menoleh, hairan.

“Abah beritahu ayam kau tu patuk ayam lain sampai berdarah. Hari-hari ayam kau kerjakan ayam lain. Abah pun dia patuk. Bukan senang nak letak dedak di dalam reban sekarang ni, ayam kau tu mesti patuk sampai berdarah.”

Apabila kakak berkata begitu, aku terus bangun dan tersedar. Sudah berapa lama aku tidak menjenguk Noa? Sudah berapa lama aku tidak memegang Noa? Sebaik-baik sahaja aku berdiri di hadapan reban ayam, Noa memandang aku. Namun pandangannya liar, mematuk-matuk pintu pagar reban seperti mahu menerobos keluar dan menyerang aku. Tidak lama selepas itu, abah berdiri di sebelah dan berkata, “Ayam kau jadi ganas, mungkin sebab lama sangat kau tak jenguk Noa. Ayam ni dah jadi ayam liar.”

“Jadi, nak buat macam mana?” soalku, risau.

“Kalau kau tak kisah, abah sembelih Noa,” jawab abah.

Aku tersentak. “Janganlah. Lama kita bela, takkan abah nak sembelih?”

“Kalau kau dapat jinakkan dia balik, mungkin abah tak sentuh Noa.”

Aku memandang Noa. Timbul rasa bersalah. Pagi itu aku berniat mahu menjinakkan Noa semula seperti dahulu. Aku mahu menyelamatkan Noa daripada disembelih oleh abah. Kasihan, walaupun ayam ialah haiwan yang halal untuk dimakan, tetapi aku tidak sampai hati mahu memakan Noa. Walau bagaimanapun, itu monolog aku pada tiga bulan yang lepas.

Pagi ini, aku berdiri di hadapan reban ayam sambil memandang Noa dan kuping telingaku terus mendengar perbualan jiran di belakang rumah. Noa menjadi bertambah liar, dia berkelakuan seperti ayam sabungan tetapi dua kali ganda lebih gila. Kemudian, aku menoleh dan mendapati jiran belakang rumah memetik pucuk daun ubi lalu memintal-mintal sehingga ketat dan disumbat ke dalam buluh. Perlahan-lahan, bau ayam yang dimasak dalam buluh harum semerbak, air liurku mula kecur tanpa sedar.

Aku memandang Noa sekali lagi. Aku memandang bengkak di seluruh jari dan lenganku akibat dipatuk oleh Noa. Usahaku gagal. Aku berputus asa. Noa tidak boleh dibela lagi, fikirku. Noa ayam jantan yang bahaya. Lantas, aku memanggil abah ketika jiran belakang rumah sibuk dengan ayam pansuh mereka.

“Abah, mari kita buat ayam pansuh macam jiran. Lama dah tak makan ayam.”

“Mana ada ayam di dalam peti sejuk,” sahut abah. Aku menuding jari ke arah Noa dan berkata, “Noa ada. Ayam memang untuk dimakan.”

Tanpa membuang masa, abah dan mak terus menyediakan bahan. Halia, bawang merah, daun bungkang, serai, sedikit serbuk kunyit, pucuk daun ubi. Resepi masyarakat Iban yang menjadi kegemaran kami dan juga sudah diubahsuai sedikit oleh abah akhirnya menjadi kenyataan. Noa ialah bintang utama, sekelip mata terkulai di hujung mata pisau abah.

Aku tidak tahu kisah ayam pansuh jiran. Aku cuma tahu nasib Noa berakhir di dalam batang buluh. Mencicip ayam pansuh panas-panas, satu nikmat! Aku mencicip sehingga ke tulang. Sedap juga Noa rupanya. Ya, dia seekor ayam. Mestilah sedap, aku berkata memujuk diri. Tetapi entahlah, jauh dari sudut hatiku, aku teringat kepada Noa, kepada janjiku terhadap seekor ayam yang tidak memahami bahasa manusia.

Akhirnya, usai sahaja makan, aku tiba-tiba berasa mual lalu muntah. Rasa sakit perut ini, perlahan-lahan menjalar dalam hati. Noa berakhir di dalam lubang tandas, dan aku terduduk di hadapan lubang tersebut sambil menangis.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

Yang Berkaitan

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.