16 Mac 2021, 08:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pada 7 Mac 2021, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah mengadakan bual bicara secara dalam talian melalui ruangan “Warisan Kita, Yang Lama Dijunjung” menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP. Program yang menampilkan barisan panel yang hebat seperti Haidzir Sham, Zalina Amat Rosman, Noor Haslina Ridzwan dan Zayn Al- Abideen telah mengupas tentang mempopularkan pantun dalam media sosial. Program bual bicara tersebut telah dikendalikan oleh Ketua Bahagian Multimedia DBP, Encik Ghani Abu selaku moderator yang berkongsikan tentang peranan pantun sebagai sumber kearifan tempatan dalam kalangan masyarakat Melayu, khususnya di benua Nusantara.

Dahulunya pantun hanya boleh didapati dalam media bercetak sahaja, namun kini pantun turut boleh didapati dalam platform media sosial. Hal ini dapat dilihat apabila laman media sosial DBP sering mendapat tumpuan dalam kalangan masyarakat kerana berjaya menyediakan pantun yang menarik, terutamanya dalam kalangan generasi muda. Haidzir Sham atau lebih dikenali sebagai Tokbatin Syam mengatakan bahawa antara pendekatan yang harus dibawa untuk memartabatkan budaya pantun ialah dengan mengamalkan prinsip kebersamaan. Hal ini dapat dilihat apabila pantun turut diterima dalam kalangan masyarakat umum dan tidak tertumpu kepada masyarakat Melayu sahaja.

Apabila berbicara tentang usaha untuk melestarikan pantun dalam kalangan masyarakat, Noor Haslina Ridzwan menyatakan bahawa pantun tidak akan hilang, namun persoalannya ialah tentang bentuk pantun yang harus dilestarikan. Beliau berasakan bahawa usaha DBP dalam melestarikan pantun dengan menggunakan pendekatan media sosial sebagai usaha yang baik kerana berjaya menarik perhatian dalam kalangan pelayar laman sosial Facebook DBP.

Menariknya, program bual bicara tersebut telah mendapat sambutan yang memberangsangkan apabila pelayar media sosial turut bersama-sama memberikan pantun dalam ruangan komen sepanjang program tersebut berlangsung.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.