16 Mac 2021, 08:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

 

Slot Bedah Buku Gerawan.

 

Kuala Lumpur – Karya fiksyen sains merupakan antara karya yang diminati dalam kalangan pembaca generasi muda. Walau bagaimanapun, karya tersebut kurang didapati dalam bahasa Melayu. Oleh itu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengambil peluang ini dengan menerbitkan lebih banyak karya fiksyen sains dalam bahasa Melayu. Pada 6 Mac 2021, Bahagian Pemasaran dan Pengedaran, DBP telah mengadakan promosi buku fiksyen sains terbitan DBP dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia (SPM) di TV1. Buku yang terlibat dalam slot “Bedah Buku” pada siaran kali ini ialah novel yang berjudul Gerawan, karya Lokman Hakim.

Novel tersebut berkisarkan tentang pihak Komunis yang berjaya memerintah dan menakluk Asia Tenggara tanpa mendapat bantahan daripada rakyat. Menurut Lokman Hakim,

beliau mendapat inspirasi daripada sebuah karya dari Amerika Syarikat yang berjudul The Man in The High Castle. Karya yang dihasilkan oleh Philip K. Dick itu berkisarkan tentang kumpulan Nazi yang berjaya membentuk sebuah kerajaan yang kukuh dan stabil di negara tersebut.

Selain daripada mempromosikan karya tersebut, beliau turut berkongsi beberapa panduan kepada penulis muda atau penulis baharu yang ingin menghasilkan karya, terutamanya dalam bidang fiksyen sains. Antara nasihat beliau ialah seseorang penulis perlu membaca pelbagai karya supaya mampu memberikan nilai tambah untuk mendidik pembaca. Selain itu, penulis juga perlu mempelbagaikan kaedah pemerolehan idea dan tidak hanya tertumpu pada pembacaan sahaja.

Sebagai pengakhiran slot tersebut, Pengurus Besar Bahagian Pemasaran dan Pengedaran, Encik Azhar Mohamad Dora turut menyeru pembaca supaya mendapatkan novel Gerawan dan buku terbitan DBP yang lain melalui portal dbpniaga.my. Selain itu, beliau turut menyatakan bahawa DBP akan bekerjasama dengan Shopee untuk Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2021 yang diadakan secara dalam talian bermula pada 19 Mac 2021.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.